RANTAU PANJANG - Rondaan kereta perisai dan penggunaan dron menjadi usaha terkini Briged Tenggara bagi memastikan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok di sini berada pada tahap terbaik.
Timbalan Komandernya, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, rondaan menggunakan kereta perisai jenis Commando V150 itu susulan insiden letupan yang berlaku di Selatan Thailand pada 29 April lalu.
"Rondaan tersebut masih berterusan sehingga hari ini bermula dari Pos Ular di Pengkalan Kubor (Tumpat) sehingga ke Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang.
"Ini merupakan usaha mengembalikan keyakinan orang awam terhadap tahap keselamatan di sempadan," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut beliau, selain itu ia dapat memberi gambaran kesiapsiagaan Briged Tenggara melalui Pasukan Gerakan Am berdepan sebarang ancaman.
Ujarnya, pada masa sama unit dron turut digerakkan untuk membuat pemantauan dan mengesan sebarang pergerakan berkait ativiti rentas sempadan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!