SPR belum panggil Kor Ming beri keterangan - Abdul Ghani

Iklan
Abdul Ghani ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal di Maktab PDRM pada Selasa.

HULU SELANGOR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum memanggil Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming untuk memberi keterangan berkaitan pengumuman peruntukan kepada kawasan Kuala Kubu Baharu, bulan lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, perkara itu akan diserahkan kepada pengerusi baharu ekoran beliau akan menamatkan perkhidmatan pada Khamis ini.

Iklan
Iklan

"(Nga Kor Ming) Belum dipanggil. Akan serahkan pada kepimpinan (SPR) akan datang. Saya masa itu dah bersara,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses undian awal di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu pada Selasa.

Sebelum ini, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilapor mengumumkan peruntukan sejumlah RM5.21 juta bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) ketika Program Sentuhan Kasih anjuran kementerian itu.

Iklan

Rentetan itu, Perikatan Nasional (PN) mendesak SPR mengambil tindakan ekoran peruntukan tersebut diumum menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang melanggar peraturan pilihan raya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai amaran petisyen yang akan diusulkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada PRK Sabtu ini, Abdul Ghani menjelaskan, semua pihak berhak melakukan demikian sekiranya mendapati berlaku pelanggaran akta pilihan raya.

Iklan

"Yang ini terpulang kepada kepimpinan (parti) masing-masing, cuma untuk membuat petisyen, selepas gazet 21 hari keputusan dikeluarkan, barulah mereka boleh buat petisyen.

"Jadi terpulang kepada parti masing-masing. SPR biasanya hanya menunggu, kalau ada kita akan terima, teruskan ke mahkamah dan sebagainya," katanya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini memberitahu, PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya PH menang pada PRK Kuala Kubu Baharu susulan dakwaan kerajaan telah melakukan salah guna kuasa serta jentera sebelum dan semasa kempen berlangsung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!