Pembangkang Selangor dakwa diketepi bawa suara rakyat dalam JKTD

Iklan
Harrison dan Noorazley

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) bagi menyelesaikan segala permasalahan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, pada masa ini semua ADUN pembangkang diketepikan untuk terlibat sama dan 'bersuara' dalam mesyuarat terbabit.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan segala isu-isu berkaitan masalah rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pembangkang tidak dapat disampaikan melalui mesyuarat berkenaan.

"Fungsi JKTD ini ialah menyelesaikan masalah rakyat di peringkat daerah dan melalui jawatankuasa ini segala permasalahan akan disalurkan ke peringkat negeri untuk mendapatkan penyelesaian secara menyeluruh.

Iklan

"Bagaimana kami sebagai wakil rakyat pembangkang hendak membantu menyelesaikan masalah rakyat sedangkan tidak dipanggil dalam mesyuarat JKTD," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari seharusnya bersikap terbuka dalam isu tersebut.

Iklan

"Kita semua (ADUN) tidak kira parti politik, matlamat utama adalah untuk membantu rakyat dan meminta kerajaan negeri melihat semula perkara ini," tambah beliau.

ADUN Bukit Melawati, Datuk Noorazley Yahya berkata, banyak perkara terutama membabitkan isu rakyat di kawasannya tidak dapat disuarakan apabila beliau tidak dipanggil dalam mesyuarat JKTD.

Katanya, rakyat tentunya mengharapkan ADUN menyuarakan segala permasalahan dihadapi untuk diketengahkan kepada pihak berwajib.

"Saya akui banyak masalah rakyat dapat diselesaikan jika kami (ADUN pembangkang) turut dilibatkan dalam mesyuarat ini.

"Saya harap kerajaan negeri memberi ruang kepada ADUN pembangkang untuk duduk semeja dalam mesyuarat JKTD untuk kami bawa suara rakyat untuk diselesaikan di peringkat daerah dan negeri," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!