Keputusan Yan Ke batal kes ingkar perintah 31 Mei

Iklan
Wong Yan Ke

PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, menetapkan 31 Mei ini untuk keputusan permohonan bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) bagi membatalkan satu pertuduhan mengingkari perintah yang diisytiharkan penjawat awam, ketika membuat serbuan di sebuah rumah, empat tahun lalu.

Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan Yan Ke selaku pemohon.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri selaku responden tidak membuat sebarang hujahan lisan sebaliknya bergantung kepada hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini.

Semasa prosiding, peguam, Chong Kar Yan yang mewakili Yan Ke menyifatkan pertuduhan terhadap anak guamnya sebagai tidak berasas.

Iklan

Menurutnya, ia tidak mendedahkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang dan tidak dapat dibaiki oleh Seksyen 156 dan 422 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Katanya, pendakwaan selaku responden telah gagal mengemuka hujahan yang menyangkal atau membalas fakta yang dikemukakan.

Iklan

"Bukan itu sahaja, pertuduhan itu cacat dan bersifat substantif kerana tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang serta tidak boleh dibaiki," katanya.

Pada 13 November 2020, pemuda berusia 28 tahun itu selaku orang kena saman (OKS), didakwa ingkar perintah yang dibuat oleh seorang penjawat awam, iaitu Asisten Superintendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman di Video Live Facebook, semasa polis tersebut membuat serbuan.

Kejadian didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan 17/48, di sini pada jam 3.30 petang, 7 November 2020.

Graduan Universiti Malaya dalam jurusan kejuruteraan awam itu didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau dengan denda maksimum RM400 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Aktivis itu ditahan pada 7 November 2020, ketika polis menyerbu kediaman aktivis Yap Wen Qing berhubung siasatan ke atas satu artikel disiarkan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) berkaitan peranan Yang di-Pertuan Agong.

Yan Ke merakam serbuan polis menggunakan telefon bimbitnya.

Umany menyiarkan artikel bertajuk 'Yang di-Pertuan Agong should not intervene in national affairs' di laman Facebooknya, tetapi ia menarik balik artikel terbabit dan memohon maaf kepada Agong menerusi catatan Facebook pada 12 November tahun sama.

Pada 4 Oktober 2023, Yan Ke dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atas pertuduhan mengingkari arahan polis untuk menghentikan rakaman langsung serbuan polis tiga tahun lalu.

Majistret memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan semua lima saksinya di mahkamah.

Bagaimanapun, pada 14 November 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan keputusan itu dan kes berkenaan akan ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!