KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu menyegerakan proses peralihan kuasa perdana menteri bagi menjamin keyakinan rakyat dan kestabilan ekonomi negara ini.
Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan, Mundzir Zahir berkata, penetapan tarikh bagi peralihan kuasa tersebut perlu dibuat bagi memastikan proses berkenaan berlangsung secara aman.
Mundzir berkata, selain itu, langkah ini juga dapat memberi persediaan awal kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan agenda PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
"Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan beliau akan melepaskan jawatan itu selepas berlangsungnya Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), namun spekulasi masih timbul dalam kalangan pelabur serta pemerhati kerana tiada sebarang ketetapan tempoh masa yang jelas (bagi peralihan kuasa)," katanya.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini pernah mendesak agar Sekretariat PH menetapkan tarikh khusus berhubung proses peralihan kuasa perdana menteri.
Bagaimanapun, Dr Mahathir mengumumkan bahawa peralihan kuasa kepada penggantinya akan dilaksanakan selepas berakhirnya APEC pada akhir tahun ini.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus pula menggesa semua parti komponen PH berhenti memainkan isu jawatan Perdana Menteri dan peralihan kuasa.
Menurutnya, desakan ini dibuat sebagai menghormati konsensus dibuat semua pemimpin PH dengan menumpukan kepada usaha menunaikan janji dibuat pada PRU14.
Menurutnya, banyak isu lain yang perlu diberikan tumpuan oleh semua barisan kepimpinan PH selain daripada peralihan kuasa.
"Terlalu banyak benda lain yang lebih penting untuk kerajaan Persekutuan lakukan.. dan perkara ini (peralihan kuasa) boleh diselesaikan kemudian. Bila isu peralihan kuasa diberikan tumpuan menyebabkan masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu dapat diselesaikan.
"Bagi kami, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi ruang dan masa secukupnya untuk menyelesaikan masalah dan menunaikan janji dibuat pada PRU14 supaya PH terus diyakini dapat membina semula negara," katanya.
Mohd Yazid berkata, rakyat meletakkan harapan dan kepercayaan tinggi kepada PH dan Dr Mahathir untuk mengembalikan semula kegemilangan ekonomi negara.