Pekerja cemerlang patut naik gaji

Iklan
Azhar (kiri) dan Laporan Sinar Harian pada Rabu.

IPOH - Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diberikan keutamaan kepada kakitangan yang menjalankan tugas dengan cemerlang.

Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, mereka yang berprestasi layak diberikan penghargaan melalui kenaikan gaji tersebut kerana secara tidak langsung membantu negara dan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengumuman yang dibuat oleh Anwar itu amat wajar dilaksanakan kerana ia memberikan suntikan motivasi kepada penjawat awam untuk lebih bekerja keras untuk masyarakat dan negara.

"Insya-ALLAH semua akan dapat kecuali yang teruk sangat prestasi seperti curi tulang, datang lewat atau ingkar arahan ketua jabatan. Jadi tak adil untuk mereka ini diberikan kenaikan.

Iklan

"Saya amat bersetuju jika kenaikan gaji itu berdasarkan prestasi malahan yang cemerlang bukan setakat 15 peratus, tapi 50 peratus kenaikan pun layak diberi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, Azhar turut senada dengan Anwar menyelar pihak tertentu yang mempertikaikan hasrat baik kerajaan untuk meningkatkan gaji pekerja sektor awam itu.

Iklan

Jelasnya, tidak ada salah untuk menaikkan gaji penjawat awam sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan yang diberikan oleh golongan itu kepada negara.

"Kita tak sepatutnya buat pelbagai persepsi tentang pengumuman itu. Kita tunggu sahaja pekeliling daripada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) tentang perincian pengumuman tersebut serta perbahasan di Parlimen mengenainya.

"Janganlah cepat sangat nak buat kesimpulan sedangkan pelaksanaannya belum lagi bermula. Beri ruang kepada kerajaan untuk bentang di Parlimen dan laksanakan sebelum kita kritik," katanya.

Pada minggu lalu, media melaporkan Anwar mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.

Pengumuman itu dibuat ketika majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!