Ofensif Zionis ke atas Rafah sudah bermula?

Iklan
Imej daripada rakaman video yang menunjukkan unit kereta kebal IDF kini sudah berada di bahagian Gaza di lintasan sempadan Rafah pada Selasa. Foto Agensi

TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada Selasa mengesahkan ia kini mengambil 'kawalan operasi' lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir pada Selasa yang seakan-akan memberi bayangan fasa ofensif berskala besar yang dicanangkan sejak beberapa bulan lalu sudah bermula.

"Askar kami telah menubuhkan pos tersebut di bahagian Gaza,” ujar IDF merujuk kepada pintu masuk utama untuk penghantaran bantuan ke wilayah terkepung berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, unit khas turut dikerahkan untuk 'meninjau' kawasan tersebut kononnya untuk mengenal pasti infrastruktur tambahan milik pejuang Hamas.

"Operasi itu masih belum berakhir,” katanya lagi sambil menambah unit infantri turut menjalankan operasi di timur Rafah tanpa memberikan butiran lanjut sama ada ofensif yang dirancang ke atas bandar paling selatan Gaza itu sudah bermula.

Iklan

Difahamkan, unit infantri berkenaan telah melancarkan misi berdasarkan maklumat risikan diperoleh IDF dan Agensi Keselamatan Israel, Shin Bet untuk menghapuskan markas milik Hamas di kawasan tertentu di timur Rafah.

"Ia adalah operasi skop terhad dan hanya menyasarkan sasaran spesifik,” jelasnya lagi ketika sesi taklimat berkenaan.

Iklan

Terdahulu, beberapa rakaman video yang disiarkan saluran tempatan mendakwa unit kereta kebal IDF telah mula ditempatkan di koridor Rafah berkenaan.

Associated Press memetik kenyataan pegawai Palestin dan Mesir melaporkan unit kereta kebal tersebut berada pada kedudukan kira-kira 200 meter dari lintasan sempadan tersebut.

Susulan ancaman keselamatan yang semakin meningkat, Kaherah telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan tentera mereka di utara Sinai yang bersempadan dengan Genting Gaza.

Pada Februari lalu, The Wall Street Journal melaporkan Mesir memberi amaran perjanjian damai bersama Israel yang dimeterai beberapa dekad lalu bakal digantung jika IDF berkeras mahu menceroboh Rafah hingga mencetuskan gelombang pelarian ke Semenanjung Sinai. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!