916,600 batang rokok seludup bernilai lebih RM700,000 dirampas

Iklan
Ribuan (kiri) dan Mohd Asri (dua dari kiri) bersama pegawai JKDM Pahang menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam dua serbuan di Johor, pada April lalu.

KUANTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas 916,600 batang rokok dipercayai rokok seludup dianggarkan bernilai RM727,694 hasil serbuan ke atas dua premis kediaman di Kluang dan Paloh, Johor April lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah berkata, serbuan pertama pada 18 April lalu di sebuah premis di Kluang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM stesen Kuantan berjaya menyita 663,800 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki barang tidak berkastam dianggarkan bernilai RM528,127.

"Kes kedua di sebuah premis di Paloh melibatkan rampasan 255,800 batang rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki rokok seludup bernilai RM199,997.

Iklan

"Dalam kedua-dua serbuan tersebut tiada sebarang tangkapan dilakukan.

"Usaha mengesan pemilik premis berkenaan sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar, di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman.

Ribuan berkata, sindiket dipercayai menggunakan premis tidak berpenghuni untuk menyimpan rokok-rokok yang diseludup dari negara jiran.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan dalang kegiatan itu dan dipercayai melibatkan sindiket berbeza.

"Kejayaan rampasan ini hasil maklumat awam dan pemantauan selama beberapa hari," katanya.

Tambah beliau, sepanjang pantauan, tiada individu muncul di premis terlibat sebelum serbuan dilakukan," jelasnya.

Beliau berkata, bekalan rokok tersebut dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut untuk diedarkan di sekitar Johor, Pantai Timur dan Lembah Klang.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967

"Perbuatan memiliki rokok-rokok tanpa lesen import yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100, 000 (mana lebih tinggi) dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 (mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

"Maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!