Penduduk Iboi trauma serpihan runtuhan tanah, batu Gunung Inas

Iklan
Tangkap layar memaparkan kejadian runtuhan yang didakwa berlaku di Gunung Inas. Foto ihsan pembaca

BALING - Penduduk Kampung Iboi yang pernah berdepan tragedi aliran puing, kini trauma apabila serpihan tanah dan batu runtuh dari Gunung Inas susulan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak hujung tahun lalu.

Wakil penduduk, Noor Mohamad Che Hussain, 61, berkata, serpihan batu dan tanah yang runtuh itu berlaku awal tahun ini dan dilihat semakin hampir dengan penempatan penduduk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada yang bimbang berikutan runtuhan berjarak kira-kira 100 meter dari rumah penduduk selain keadaan musim hujan lebat yang kerap ketika ini.

"Ramai penduduk bimbang sekiranya banjir puing seperti kejadian 4 Julai 2022 sehingga meragut nyawa tiga penduduk dan memusnahkan banyak rumah berulang, runtuhan juga menyebabkan laluan penduduk untuk ke kebun terhalang,"katanya.

Abdul Gafar

Iklan

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, keadaan itu berkemungkinan berlaku akibat cuaca panas dan kering berlarutan sehingga menyebabkan pokok jalar seperti kekacang yang berfungsi mencengkam tanah dan batu, mati.

"Apabila pokok menjalar ini mati, tanah dan batu semakin renggang dan ia berisiko berlaku runtuhan yang besar apabila musim hujan...saya sudah ketengahkan perkara ini kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) untuk pantau keadaan ini.

Iklan

"Perkara ini serius dan saya mohon kerjasama JMG untuk melakukan kajian mengenai risiko runtuhan ketika hujan," katanya ketika ditemui semasa Baling Beraya sempena Sambutan Aidilfitri peringkat daerah Baling pada Selasa.

Kejadian hujan lebat dan lumpur berdekatan rumah penduduk yang didakwa berpunca daripada runtuhan tanah dan batu di Gunung Inas. Foto ihsan pembaca

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Abdul Gafar berkata, jambatan baharu bagi menggantikan jambatan bailey di Kampung Iboi telahpun diluluskan dengan kos sebanyak RM23 juta.

"Saya dengar peruntukan untuk jambatan ini sudah diputuskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah...sama juga macam Rancangan Tebatan Banjir (RTB) fasa 2 Baling yang bermula daripada Teluk Temelah sampai ke Sungai Limau, sekarang dah mula dah.

"Itulah sekarang peringkat konsultan sedang buat 'design' dan atas kapasiti DO, saya minta design itu mestilah kita bawa runding ataupun dibentang kepada 'stakeholder' maknanya jawatankuasa peringkat daerah, pimpinan kampung supaya faedahnya nanti akan mudah diterima oleh rakyat," katanya.

Abdul Gafar bagaimanapun mengharapkan agar projek berkenaan akan diberi perhatian kerajaan Persekutuan sebagai manfaat kepada rakyat Baling.

Muhammad Sanusi turut hadir ke Baling Beraya sempena Sambutan Aidilfitri peringkat daerah Baling pada Selasa.

Berdasarkan rekod, jambatan bailey dibina selepas tragedi kepala air dan banjir kilat 4 Julai 2022 di Kampung Iboi, Kupang.

Jambatan sepanjang 27.43 meter dengan lebar 5.49 meter itu dibina pada 7 Julai dan siap dalam tempoh 36 jam bagi menghubungkan Kampung Masjid dan Kampung Iboi yang terputus hubungan akibat tragedi aliran puing.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!