Pengasuh ditahan bantu siasatan bayi tujuh bulan meninggal dunia

Iklan
Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan ketika dalam penjagaannya di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu direman sehingga 10 Mei ini untuk siasatan lanjut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis menerima laporan dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) memaklumkan telah menerima seorang pesakit iaitu bayi perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.25 petang Isnin.

"Hasil siasatan awal mendapati, bayi perempuan warga tempatan itu ditinggalkan oleh sepasang suami isteri kepada pengasuh (suspek) untuk dijaga setiap hari semasa hari bekerja.

Iklan

"Pada hari kejadian, bayi tersebut dikatakan sedang tidur di dalam buaian namun ketika pengasuh hendak membetulkan kedudukan bayi berkenaan, dia didapati tidak sedarkan diri.

"Suspek kemudiannya membawa bayi tersebut ke HSJ untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Helmi berkata, bedah siasat telah dijalankan di Unit Forensik HSJ dan punca kematian mangsa disebabkan jangkitan kuman pada salur pernafasan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!