JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM3.4 juta lesap angkara penipuan skim simpanan tetap.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, ketika membuat laporan polis, mangsa yang berusia 62 tahun menjelaskan telah didatangi seorang wanita warga tempatan yang menawarkan satu skim simpanan tetap dengan kadar faedah yang menarik.
Iklan
Iklan
Katanya, lelaki berkenaan telah tertarik dengan tawaran berkenaan dan kemudiannya telah membuat bayaran menggunakan 10 keping cek dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM3.4 juta dalam usaha menggandakan wang simpanannya.
"Mangsa juga mengakui tidak mengesyaki apa-apa kerana pada 2020, dia pernah menerima faedah simpanan sebanyak RM70,000 dan malah mangsa terus membuat penambahan simpanan tanpa mengetahui segala pembayaran yang dibuat oleh mangsa kepada suspek sebenarnya telah dimasukkan ke dalam akaun individu lain.
"Bagaimanapun, pada awal Januari lalu, apabila mangsa ingin mengeluarkan faedah lain, suspek mula memberikan pelbagai alasan dan mangsa mula berasa curiga dan telah membuat semakan dengan pihak perbankan dan mendapati tiada simpanan tetap atas nama dan syarikatnya dan kesemua resit pembayaran yang diberikan kepadanya oleh suspek adalah palsu,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!