SINGAPURA - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat pulang ke tanah air hari ini, selepas selesai mengadakan lawatan negara ke Singapura selama dua hari.
Seri Paduka Baginda berdua yang memasuki republik itu menaiki kereta menggunakan laluan Tambak Johor, berangkat pulang ke Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada pukul 3.55 petang menggunakan laluan sama.
Mengiringi keberangkatan pulang Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Lawatan negara ke Singapura ini adalah yang pertama sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta pada 31 Januari dan ia atas jemputan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong memulakan lawatan negara itu pada Isnin dengan Majlis Sambutan Negara di Istana, pejabat dan kediaman rasmi Presiden Singapura.
Sultan Ibrahim kemudian mengadakan pertemuan dengan Ketua Negara Singapura itu, selain berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang akan melepaskan jawatannya pada 15 Mei ini.
Hsien Loong dan isteri, Ho Ching turut menjadi hos kepada Majlis Santapan Tengah Hari selepas pertemuan itu.
Pada sebelah malam, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah diraikan dalam Majlis Sambutan Negara dihoskan oleh Presiden negara berkenaan.
Program Seri Paduka Baginda berdua diaturkan berasingan pada sebelah pagi hari terakhir lawatan hari ini, dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan melawat bangunan Parlimen dan menyaksikan persidangan dari dalam kamar di kerusi Speaker's Gallery.
Sementara itu, Raja Permaisuri Agong melawat KK Women's and Children's Hospital dan meluangkan masa kira-kira satu jam di hospital berkenaan.
Sebelum berangkat pulang ke Malaysia, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menaiki MRT bagi mendapat taklimat perkembangan projek stesen Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) di stesen MRT Woodlands North.
Taklimat berkenaan perkembangan projek itu disampaikan oleh Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat.
RTS Link ialah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura.
Sultan Ibrahim pada 22 November 2020 berkenan merasmikan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!