'Buka paip hanya keluar angin'

Iklan
Mohd Fitri (kiri) meluahkan masalah air yang dihadapinya bersama penduduk Kuala Kedah sejak dua minggu lalu. (Gambar kecil: Dr Azman)

KUALA KEDAH - Rutin harian kira-kira 1,000 keluarga di sekitar Kuala Kedah terganggu selepas putus bekalan air malah ada di sesetengah tempat gagal mendapat air sejak dua minggu lalu.

Penduduk, Mohd Fitri Abdul Halim, 30, berkata, banyak aduan telah dibuat kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) namun sehingga kini masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan.

Iklan
Iklan

Dia yang tinggal di Taman Desarina Indah sejak tahun 2015 berkata, keadaan tersebut menjadi paling kritikal sejak dua minggu lalu.

"Kalau ikutkan masalah air ini dah lama berlaku. Sejak awal-awal tinggal di sini saya sudah pasang 'waterpump' untuk tarik air sebelum ia kembali mengalami gangguan pada pertengahan tahun 2016.

Iklan

"Masalah ini terus berlarutan sehingga hujung tahun lalu apabila sekejap ada dan sekejap tiada. Air datang tidak menentu. Keadaan paling kritikal sejak dua minggu lalu apabila air langsung tiada," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Dialog Masalah Air bersama Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Kedah dekat sini.

Masalah tersebut turut diakui oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof, 33, yang berharap kemelut itu selesai pada tahun ini dan pihak bertanggungjawab perlu segera melaksanakannya melalui pelan jangka pendek dan panjang.

Iklan

"Sekarang sudah masuk tahun 2020, takkan apabila buka paip yang keluar hanyalah angin sahaja tapi air tiada. Sampai bila penduduk nak lalui masalah ini pada setiap hari.

"Saya tinggal di sini sejak tahun 2016. Keadaan makin teruk sejak dua tiga tahun lalu apabila air ada dalam sejam hingga tiga jam dalam sehari. Sejak tahun baru 2020 ini, air tidak ada langsung," katanya.

Sementara itu, Dr Azman berkata, dialog itu bertujuan untuk menemukan penduduk dengan pengurusan SADA bagi memastikan semua pihak dapat berkongsi masalah yang dihadapi oleh mereka masing-masing.

Menurutnya, sebelum ini timbul pelbagai andaian, khabar angin dan beliau berharap perjumpaan itu mampu meredakan ketegangan selain mengelakkan penduduk terpinga-pinga.

"Kini kita dapat tahu masalah sebenar iaitu hilangnya tekanan di loji dan masalah itu sedang dikaji. Sebahagian sudah dikenal pasti dan sedang diatasi masalahnya. Dijangkakan di dalam tempoh tiga minggu ini akan ada perubahan dan penduduk diminta membuat perancangan sebaik mungkin.

"Langkah yang perlu dibuat adalah menggantikan paip-paip lama yang dipasangkan pada tahun 60-an, sepatutnya paip-paip ini sudah lama diganti. Bagi langkah jangka masa panjang adalah keupayaan loji akan dipertingkatkan dan paip sedia ada perlu digantikan dengan paip lebih besar,"katanya.

Katanya, untuk langkah penyelesaian jangka pendek, penghantaran air menggunakan lori-lori ke kawasan yang terjejas perlu dipertingkatkan agar rutin harian penduduk yang terlibat kembali stabil.