JAKARTA - Rantau ASEAN mengalami 47 bencana, termasuk banjir, tanah runtuh, ribut dan kejadian berkaitan angin dari 29 April hingga 5 Mei tahun ini, menurut Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).
Pusat AHA dalam kemas kini bencana mingguannya untuk minggu ke-18 tahun 2024 berkata, Indonesia, Thailand dan Vietnam dilaporkan terjejas oleh bencana-bencana berkenaan.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), banjir dan tanah runtuh berlaku di Sulawesi Tengah, Sulawesi Selatan, Kalimantan Tengah, Sulawesi Utara, Banten, Kalimantan Timur, Sulawesi Tenggara, Gorontalo, Jawa Tengah, Maluku Utara, Sumatera Barat dan Riau.
Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana (DDPM) di Thailand melaporkan ribut dan insiden berkaitan angin di beberapa wilayah di utara, timur laut, tengah dan selatan.
Di Vietnam, VDDMA mendokumentasikan ribut dan kejadian berkaitan angin di wilayah Lao Cai, Yen Bai, Ha Giang, Cao Bang, Bac Kan, Tuyen Quang, Phu Tho, Thai Nguyen dan Quang Ninh.
Menurut laporan Pusat AHA, BNPB Indonesia melaporkan impak banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan 13 kematian, 551 kehilangan tempat tinggal dan menjejaskan seramai 14,800 keluarga atau 56,500 orang.
Data daripada agensi bencana Indonesia juga mendedahkan bahawa kira-kira 12,400 rumah rosak, dengan 261 rosak sepenuhnya bersama-sama dengan 40 sekolah, 14 kemudahan kesihatan, lima pejabat kerajaan dan 20 rumah ibadat. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!