MCMC, Microsoft tandatangan MoU 14 Mei ini - Nie Ching

Iklan
Teo Nie Ching. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Microsoft pada 14 Mei ini bagi kerjasama melahirkan tenaga kerja berkemahiran digital khususnya dalam sektor kecerdasan buatan (AI) melalui pendidikan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihaknya mahu bekerjasama dengan Microsoft membabitkan usaha peningkatan kemahiran tenaga kerja di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Kita mahu bekerjasama dengan syarikat Microsoft untuk memastikan bagaimana kita hendak meningkatkan kemahiran tenaga kerja di negara ini. Jadi, kita akan mengguna pakai sumber yang sedia ada pada Microsoft untuk mengajar dan mendidik warga Malaysia mengguna pakai AI dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutupan pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 di sini pada Selasa.

Iklan

Mengenai persidangan IRC 2024 yang berlangsung selama dua hari itu, Teo berkata program tersebut mengumpulkan pengawal selia di rantau ASEAN serta beberapa negara lain untuk berkongsi kepakaran masing-masing dalam memastikan capaian Internet semakin baik selain menyelesaikan masalah jenayah siber.

"Hasrat kita kumpulkan semua pengawal selia di sini untuk berkongsi pandangan dan kepakaran mereka supaya kita boleh melaksanakan satu rangka kerja dan rang undang-undang yang diperlukan.

Iklan

"Sebagai satu wilayah, kita juga boleh terlibat dengan platform penyedia bagi memastikan mereka mengukuhkan garis panduan komuniti mereka untuk keselamatan golongan rentan khususnya kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai proses pengundian awal di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu hari ini, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada kakitangan kerajaan yang menyumbang kepada 96 peratus kadar keluar mengundi awal pada hari ini.

"Jumlah 96 peratus satu tanda yang cukup menggalakkan. Saya harap pada 11 Mei ini kadar yang keluar mengundi juga cukup tinggi kerana petugas kerajaan mencatatkan peratusan yang sangat tinggi,” katanya.

Beliau juga menyeru pengundi lain khususnya mereka yang bekerja di luar kawasan Kuala Kubu Baharu untuk pulang mengundi pada 11 Mei, selain dapat meraikan Hari Ibu pada 12 Mei bersama keluarga tersayang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!