SABAK BERNAM - Kira-kira 150 pemilik motosikal lasak atau scrambler termasuk jenis supermoto berhimpun bagi meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh nostalgia pada masa lalu.
Presiden Sabak Bernam Motosikal Club (SBMC), Musa Mat Sotan berkata, perjumpaan semua pemilik motosikal lasak itu membangkitkan semula keindahan sambutan lebaran zaman dahulu dengan dikelilingi suasana kampung.
Malah, katanya, rata-rata peserta teruja apabila berpeluang untuk meraikan lebaran dengan konsep 'raya dulu-dulu'.
"Kita menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya membakar lemang, serta barbeku ayam dan hidangan eksotik seperti arnab dan landak selain pertandingan menganyam ketupat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Musa, program dua hari satu malam itu di Desa Resources Homestay Sungai Haji Dorani di sini berjaya mencapai objektifnya apabila dapat menghimpunkan pemilik scrambler dan supermoto seluruh negara.
Ujar beliau, pemilik motosikal itu datang dari seluruh negara antaranya dari Lembah Klang, Johor Bharu, Perlis dan Terengganu.
"Ini merupakan tahun kedua penganjurannya selepas program sama dilaksanakan pada tahun 2019, namun akibat pandemik Covid-19 program ini terhenti.
"Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat meneruskan penganjurannya dan berharap dapat dilaksanakan pada masa akan datang," tambah beliau.
Musa memberitahu, selain aktiviti di sekitar inap desa, pihaknya turut melawat beberapa kawasan menarik di sekitar Sekinchan.
"Kita dapat saksikan orang ramai teruja apabila scrambler dan supermoto yang jarang mereka lihat berada di kawasan sawah padi," tambah beliau.