Operasi ketenteraan Israel di Rafat: Mesir gesa campur tangan antarabangsa

Iklan
Lebih sejuta penduduk Palestin sangat bergantung kepada lintasan sempadan Rafah sebagai pintu masuk utama mereka ke dunia luar. Foto AFP

KUALA LUMPUR - Mesir pada Selasa mengutuk sekeras-kerasnya operasi ketenteraan Israel di bandar Rafah, Palestin.

Menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu yang dikongsi melalui kedutaannya di sini, Mesir juga menekankan betapa seriusnya perkembangan berkenaan dengan menegaskan potensinya untuk mengancam nyawa lebih sejuta penduduk Palestin yang sangat bergantung kepada lintasan sempadan Rafah sebagai pintu masuk utama mereka ke dunia luar.

Iklan
Iklan

Lintasan itu berfungsi sebagai talian hayat penting bagi Semenanjung Gaza, memudahkan mereka yang cedera dan sakit keluar untuk mendapatkan rawatan perubatan selain membolehkan kemasukan bantuan kemanusiaan serta bantuan penting kepada penduduk Palestin yang terkepung.

Mesir pada masa sama menyeru semua negara berpengaruh untuk segera campur tangan dan memberikan tekanan yang diperlukan untuk meredakan krisis semasa.

Iklan

Negara itu turut menekankan pentingnya untuk membenarkan usaha diplomatik diteruskan tanpa halangan, memastikan ia menghasilkan keputusan yang diinginkan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Iklan