WASHINGTON - Nasib Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berdepan tuduhan penyalahgunaan kuasa dan menghalang siasatan Kongres bakal ditentukan menerusi perbicaraan berhubung pemecatannya selepas ia dilancarkan di peringkat Senat semalam.
Buat kali ketiga dalam sejarah Amerika, Dewan Senat diubah menjadi mahkamah untuk prosiding pemecatan yang akan diketuai oleh Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, John Roberts yang berikrar akan memastikan keadilan tidak berat sebelah sepanjang proses tersebut dan hujan pembukaan akan dilakukan pada Selasa depan.
Beberapa jam sebelum majlis angkat sumpah senator itu dilakukan, Pejabat Akauntabiliti Kerajaan turut mendapati pentadbiran Trump melanggar undang-undang ketika ia bertindak menyekat bantuan kepada Ukraine, sebuah isu yang menjadi titik tolak terhadap kes pemecatan bilionair hartanah terbabit.
Sebelum ini, Parti Demokrat mendakwa, Presiden AS ke-45 itu bertindak menyekat dana bantuan tersebut untuk memberi tekanan kepada Kiev bagi melancarkan siasatan terhadap pesaing beliau, Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada November depan.
Trump yang menjadi Presiden ketiga AS bakal disingkirkan sekali lagi menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa kes tersebut yang dikenakan terhadapnya sebagai 'penipuan besar'.
Keputusan Senat membuka perbicaraan berhubung pemecatan Trump menjelang Pilihan Raya Presiden AS 2020 bukan hanya memberi cabaran besar kepada pemimpin terbabit untuk bertanding semula malah itu juga bakal menguji keseimbangan dan keadilan tiga cabang kuasa dan sistem di negara terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: Trump gesa Apple bantu akses data telefon pintar penembak Saudi
Difahamkan, Trump akan berada untuk menyertai Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland ketika pembukaan hujah terhadap perbicaraan untuk memecatnya dibuat pada minggu depan.
Beliau seakan tidak menghiraukan proses tersebut kerana begitu yakin majoriti anggota Parti Republikan akan setia menyokongnya.
"Saya akan berada di Davos untuk bertemu pemimpin perniagaan terbesar dan pemimpin asing," katanya di Rumah Putih. - Agensi