‘Harap dapat selesai segera tutup segala kebimbangan’

Iklan
Insiden yang menimpa Faisal Halim pada Ahad lalu. (Gambar kecil: Pekan)

PENYOKONG bola sepak tempatan digesa supaya berhenti menanam benih kebencian dan melakukan provokasi di media sosial susulan insiden malang menimpa pemain sayap sensasi skuad Harimau Malaya, Faisal Halim yang disimbah asid baru-baru ini.

Penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli mengakui unsur-unsur kebencian yang disemai secara langsung atau tidak langsung oleh akaun-akaun hasut maya di platform media sosial berkaitan arena bola sepak negara khususnya saingan domestik ketika ini sangat membimbangkan.

Iklan
Iklan

Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian yang menimpa Mohamad Faisal yang lebih dikenali sebagai Faisal Halim itu mungkin antaranya didorong rasa benci melampau akibat terpengaruh dengan lambakan hantaran berbaur kebencian.

"Ini kebencian tahap melampau. Walau apa pun sebabnya ia sangat berbahaya dan tidak sepatutnya sukan dicemari insiden seperti ini. Jangan nanti sampai membawa kepada insiden membunuh ahli sukan seperti yang berlaku di Colombia dulu.

Iklan

Pada masa sama, Pekan meminta supaya pemantauan terhadap salah laku pengguna media sosial ditingkatkan bagi membendung insiden sama berulang.

"Kita sangat memerlukan kawalan yang serius terhadap penggunaan media sosial dalam apa hal sekalipun, jangan sampai ia jadi platform yang menimbulkan kebencian teramat sangat," katanya.

Iklan

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan disahkan mengalami kelecuran tahap empat, selain pergerakan dan percakapannya ketika ini turut terbatas berikutan insiden itu.

Pemain yang memenangi gol terbaik pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi minimum lima atau enam bulan sekali gus terlepas dua aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Semalam, polis mengesahkan sudah menahan seorang lelaki di Pandan Indah, Ampang bagi membantu siasatan kes serangan jenayah terhadap Faisal Halim.

Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!