SHAH ALAM - Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 memerlukan mega reformasi dalam usaha menjadikan negara ini bersih daripada jenayah rasuah 10 tahun dari sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, pelaksanaan itu bagaimanapun perlu dijalankan mengikut kerangka sebelumnya iaitu Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
Hal ini kerana menurutnya, bertujuan memastikan strategi antirasuah terbaharu dapat diteruskan dengan sempurna demi mencapai sasaran tangga ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
"Lima strategi utama dalam NACS adalah sesuatu yang perlu kita teliti siapa pelaksana intipati dan bagaimana ia dapat disempurnakan dengan efisien.
"Kadangkala apabila dibangunkan sesuatu perancangan, prasarana yang lengkap atau sistem wajar ditambah baik terlebih dahulu sebelum mampu mencapai kejayaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan NACS 2024-2028 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang memfokuskan lima tonggak utama iaitu pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif.
Norhayati turut memaklumkan, antara kaedah untuk memastikan strategi tersebut disambut baik semua pihak adalah melalui komunikasi efektif dari masa ke masa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!