SHAH ALAM - Program bual bicara She Leads siri dua yang bertajuk Dressing Right and Feeling Good anjuran Sinar Daily membantu peserta khususnya wanita untuk tampil lebih berani dan berkeyakinan dalam pemilihan fesyen serta bersolek.
Pengarang Sinar Daily merangkap pengarah projek, Tasnim Lokman berkata, demonstrasi dan topik yang dibincangkan oleh panel jemputan memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari dengan lebih dekat mengenai gabungan warna serta cara solekan ringkas mengikut tona warna kulit masing-masing.
"Selepas pandemik Covid-19, ramai masyarakat terutamanya wanita yang terkesan serta mempunyai mentaliti untuk tidak lagi menjaga penampilan kerana sebelum ini hanya bekerja dari rumah sahaja malah terbiasa dengan keadaan tersebut.
"Ini menyebabkan kita tidak lagi melihat fesyen ini sebagai sesuatu yang serius dan perlu dijaga. Ramai yang berdepan dengan masalah untuk menaikkan keyakinan serta risau orang sekeliling menghakimi cara kita menggayakan pakaian.
"Oleh itu, panel jemputan kita pada hari ini mengajarkan peserta melalui pengalaman dan kemahiran dimiliki mengenai cara pemilihan dan gabungan warna pakaian mengikut saiz serta tona kulit masing-masing untuk meningkatkan keyakinan mereka,” katanya dalam program itu pada Selasa.
Siri kedua She Leads yang dihoskan Usha Daniel itu menampilkan pengaya fesyen, Andrea Wong dan jurusolek, Nabilah Nordin sebagai panel dengan kehadiran kira-kira 50 peserta di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.
Dalam pada itu, Andrea berkata, pemilihan aksesori seperti rantai, tali pinggang dan jenis pakaian dengan saiz yang betul dapat menambah keyakinan wanita untuk berdepan dengan orang ramai terutamanya apabila ke tempat kerja.
"Sebenarnya banyak kebebasan dan pemilihan dalam fesyen yang sesuai digayakan dan cantik apabila digabungkan terutamanya melibatkan pemilihan warna pakaian tetapi wanita sering berasa risau dengan pandangan masyarakat sekeliling.
"Saya berharap selepas program ini, peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diberi dan tampil lebih yakin nanti,” katanya.
Sementara itu, menurut Nabilah, selain kemahiran menggayakan pakaian, pemilihan solekan yang tepat mengikut tona kulit turut memainkan peranan dalam memberikan penampilan lebih baik dan menarik.
Ujarnya, peserta diajar membuat solekan ringkas dengan menggunakan barangan asas bagi memudahkan mereka memahami dengan mudah dan cepat menguasai kemahiran tersebut.
"Solekan memainkan peranan untuk memberikan pandangan pertama masyarakat terhadap diri kita. Tidak semestinya kita perlu berlebihan dalam solekan bagi menaikkan keyakinan.
"Sebagai contoh, penggunaan warna gincu yang pelbagai dan tidak menyebabkan kulit kelihatan kusam turut diajar kepada peserta kerana bukan semua yang sesuai dengan orang lain ini sesuai juga dengan diri kita,” kata Nabilah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!