Serangan ke atas Rafah bukti Israel enggan kerjasama

Iklan
Wisma Putra

PUTRAJAYA - Serangan rejim Israel ke atas Rafah jelas menunjukkan keengganan negara haram itu untuk bekerjasama bagi tujuan keamanan meskipun Hamas menerima cadangan gencatan senjata.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan menegaskan, Zionis bertekad untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

"Serangan berterusan ke atas orang awam oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF), khususnya di Rafah, Gaza adalah amat zalim terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan mereka yang sedang berlindung di kem yang menjadi benteng perlindungan terakhir," katanya pada Rabu.

Menurut kementerian itu, Israel patut menerima kecaman keras daripada masyarakat antarabangsa ekoran tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut.

Iklan

"Masyarakat antarabangsa mesti menggandakan usaha untuk memastikan rejim Israel menghentikan tindakan jenayahnya yang disengajakan, dan dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang kemanusiaan dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan serangan terkini Israel pada Isnin lalu menyebabkan 19 orang terbunuh.

Iklan

Serangan tersebut berlaku beberapa jam selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata daripada rundingan damai yang dibuat oleh Mesir dan Qatar.

Sementara itu, sekumpulan penduduk Gaza dilaporkan cuba melintasi sempadan Rafah ke Mesir pada Isnin.

Akhbar Maariv mendakwa golongan itu membuat cubaan tersebut dari bahagian barat lintasan sempadan antara Rafah dan Semenanjung Sinai, bagaimanapun usaha itu digagalkan oleh pasukan tentera Mesir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!