KUALA LUMPUR - RapidKL sedang menyiasat dakwaan pemandunya bertindak menghalau seorang warga emas keluar dari bas kerana dipercayai terkencing dalam seluar baru-baru ini.
RapidKL dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal diperoleh mendapati kejadian dilaporkan berlaku pada 9 Januari lalu di laluan T409 dari Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara.
Menurut kenyataan menyebut, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada individu yang memuat naik berhubung kejadian itu di Facebook.
"Sehingga kini usaha kami untuk berhubung dengan Lucia Pier (yang berkongsi status) tidak berjaya, namun RapidKL ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mengetengahkan isu ini dan menjadi warganegara yang baik dengan membantu warga emas tersebut," memetik kenyataan itu.
Kenyataan menyebut pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
"Tambah baik akan dilakukan dalam memastikan pengguna berada dalam keadaan selesa dan selamat ketika menggunakan perkhidmatan dan fasiliti yang disediakan.
"Ia selari dengan visi dan komitmen kami untuk bersama komuniti menyediakan perkhidmatan yang dipercayai, cekap dan mampan," katanya.
Terdahulu, pemilik akaun Facebook, Lucia Pier berkongsi pengalamannya membantu seorang warga emas terkencing dalam seluar yang diarah turun dari bas bagi mengelak ketidakselesaan kepada penumpang lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja bantu warga emas terkencing dalam seluar
Status bergambar dimuat naik remaja terbabit sejak 9 Januari lalu itu tular dan dikongsi 4,500 pelayar Facebook dan mendapat 13,000 tanda suka.
Lucia dalam perkongsiannya memaklumkan, warga emas itu dalam perjalanan pulang selepas selesai pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.
Simpati dengan nasib warga emas itu, Lucia membantu wanita tersebut membersihkan diri di tandas awam dan membelikannya seluar baharu serta membersihkan tandas yang digunakannya.
Perkongsiannya itu menarik perhatian netizen yang kagum dengan remaja tersebut kerana memberikan contoh baik kepada masyarakat dengan membantu golongan memerlukan.