Dron 'kamikaze' buatan Malaysia bakal dikomersialkan

Iklan
Azman (kanan) dan Jurutera Sistem Mindmatic, Muhammad Ifwat Arif Othman (kiri) dengan prototaip dron 'kamikaze' bernama Todak pada pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 di Kuala Lumpur. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dron amunisi musnah sendiri atau 'kamikaze' buatan Malaysia pertama, ciptaan yang dirintis oleh syarikat tempatan Mindmatics bakal dikomersialkan tidak lama lagi.

Dinamakan sebagai 'Todak', dron inovatif itu mengambil masa setahun untuk dibangunkan dan kini masih dalam proses kajian dan pembangunan lebih lanjut yang dijangka selesai enam bulan lagi.

Iklan
Iklan

Memperkenalkan senjata itu pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini, Pengurus Projek, Azman Ahmad berkata, dron tersebut berfungsi untuk menyerang dengan tepat bagi memusnahkan sasaran yang dikehendaki.

"Sebelum ini kami telah membangunkan dron pemantauan tetapi kali ini kami maju selangkah lagi dengan dron kamikaze untuk objektif dan tujuan khusus.

Iklan

"Terdapat beberapa agensi yang menunjukkan minat dengan produk ini dan kami melihat ada potensi pasaran dalam kalangan agensi penguatkuasaan tempatan dan wilayah," katanya kepada Bernama di reruai Mindmatics pada pameran tersebut yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini.

Direka bentuk sebagai amunisi risikan dalam industri pertahanan, dron tersebut dilengkapi dengan algoritma kawalan Kecerdasan Buatan (AI) berserta Unit Kawalan Api (FCU) bersaiz kecil.

Iklan

Menurut Azman, dron itu dikuasakan dengan bateri litium-besi pepejal 25.5 Voltan dengan masa operasi hingga 40 minit serta berkeupayaan untuk terbang dan menyerang sasaran pegun atau bergerak tanpa memerlukan input pemantauan.

"Todak berukuran dua meter (m) panjang dengan kelebaran sayap 1.35 meter dan berat pelepasan maksimum 12 kilogram (kg). Ia mampu membawa beban seberat 3 kg dan mencapai kelajuan 100 kilometer sejam dengan kaedah pelancaran menggunakan lastik (catapult)," katanya.

Mindmatics yang berpusat di Kajang, Selangor, mempunyai lebih 20 tahun pengalaman, mengkhususkan pada menyediakan penyelesaian komprehensif dalam teknologi maklumat, pengkomputeran dan elektronik. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!