Warga asing ditahan guna laluan hutan simpan tanpa permit

Iklan
Dua lori membawa muatan tomoto yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Ops Sekat di kawasan Hutan Simpan Gunung Benom di sini, Isnin lalu.

RAUB - Empat lelaki warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Ops Sekat selepas dikesan berada dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Benom di sini tanpa permit Isnin lalu.

Tiga warga Nepal dan seorang warga Myanmar berusia antara 19 hingga 37 tahun itu dipercayai menjadikan hutan simpan berkenaan sebagai laluan utama keluar masuk ke kawasan pertanian yang diusahakan.

Iklan
Iklan

Pegawai Hutan Daerah (PHD) Raub, Safiah Aimi Md Isa berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menyita motosikal, dua lori bermuatan tomato dan kenderaan pacuan empat roda bersama peralatan pertanian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati warga asing yang ditahan bersama dua lori dengan muatan tomato menjalankan aktiviti pertanian di atas tanah milik persendirian.

Iklan

"Bagaimanapun mereka tidak memiliki permit sah atau kebenaran untuk melalui jalan dalam kompartmen 113, HSK Gunung Benom itu.

"Dalam operasi sama, pihak penguat kuasa PHD Raub turut menemui lelaki tempatan melakukan kerja membersih kebun durian yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan di Kampung Tras," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Iklan

Sementara itu Safiah Aimi berkata, warga asing yang ditahan dibebaskan selepas mendapat jaminan polis dan barangan yang sita disimpan di Stor Rampasan JPNP Batu 18, Tersang, di sini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana berada dalam hutan simpan tanpa permit atau kebenaran daripada JPNP.

"Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda RM10,000 atau penjara selama tiga tahun," katanya.

Jelasnya lagi, operasi bersepadu yang dijalankan itu turut membabitkan agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Barat.

"Seramai kira-kira 50 anggota terbabit dalam operasi kali ini terbahagi kepada dua kumpulan.

"Kumpulan pertama memasuki HS Gunung Benom, Kampung Temalian dan Sungai Chalit manakala kumpulan kedua kawasan Tras dan Hutan Simpan Kekal Batu Talam," jelasnya.

Beliau berkata, Operasi Bersepadu 'Ops Sekat' yang bermula Selasa lalu dijalankan bagi memastikan Hutan Simpan Gunung Benom yang sebelum ini diusahakan dengan tanaman durian musang king tidak terus diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

"Operasi ini susulan tindakan tegas JPNP memusnahkan kebun durian musang king seluas 101 hektar membabitkan kira-kira 15,000 pokok durian diusahakan kira-kira 20 pekebun yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam pada 2021.

"Operasi dan pemantauan akan dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa menggunakan dron bagi memastikan kawasan berkenaan tidak terus diceroboh oleh mana-mana pihak," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!