WASHINGTON - Perbicaraan hari pertama kes bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menghadapi pertuduhan menyimpan dokumen sulit kerajaan telah ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Tarikh perbicaraan yang sebelum ini dijadualkan bermula pada 20 Mei telah dibatalkan, kata hakim yang mengendalikan kes itu, Aileen Cannon, dalam satu surat pada Selasa.
Beliau menjelaskan bahawa isu undang-undang yang belum diselesaikan menjadi punca penangguhan berkenaan.
Oleh itu, perbicaraan berkemungkinan tidak akan bermula sebelum pilihan raya presiden AS pada November.
Keputusan itu merupakan kejayaan bagi calon Republikan berkenaan, kerana beliau cuba melambatkan permulaan perbicaraan sebanyak mungkin. Trump, 77, berharap untuk kembali ke Rumah Putih selepas pilihan raya presiden.
Trump kini juga sedang dalam perbicaraan di mahkamah New York berhubung kes wang sogok kepada seorang pelakon lucah, namun ini bukan satu-satunya masalah undang-undang Trump.
Tahun lalu, Trump didakwa dengan tuduhan persekutuan berkaitan kes dokumen tersebut.
Beliau dituduh menyimpan maklumat sensitif dari tempoh pemerintahannya antara 2017 dan 2021 secara tidak sah.
Pada Ogos 2022, FBI telah menyerbu kediaman Trump di Florida dan merampas beberapa set dokumen yang diklasifikasikan sebagai sangat sulit. Trump juga dituduh bersubahat untuk menghalang siasatan.
Beliau didakwa menggunakan rakan sekutu untuk memadamkan rakaman dari kamera pengawasan dan mengalihkan kotak dokumen.
Trump mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dikemukakan di Miami tahun lepas. Peguamnya masih cuba menggagalkan perbicaraan itu dengan menegaskan kekebalan Trump sebagai presiden. Mereka berhujah bahawa penyimpanan dokumen itu sebagai rekod peribadi adalah tindakan rasmi presiden. - Bernama/dpa
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!