KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bekerjasama bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan-jabatan agama Islam negeri lain bagi memantau penyebaran ajaran 'Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya' atau The Ahmadi
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perkara itu juga akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Syariah untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, video ajaran itu sebelum ini tular di beberapa media sosial media sosial hingga menimbulkan tanda tanya dan persoalan berkaitan ajaran atau dakyah baharu itu.
"Ajaran ini menyeru orang ramai menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi yang didakwa sudah muncul masa kini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Syed Ibrahim berkata, ajaran itu aktif di pelbagai platform media sosial dan agak popular melalui penstriman langsung di platform TikTok dengan jumlah pengikut lebih 30,000 orang.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) difahamkan telah menyekat laman sesawang dan menurunkan lima kandungan media sosial berkaitan ajaran sesat ini.
"MCMC juga turut menjalin kerjasama strategik dengan pihak JAKIM, jabatan agama Islam negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang ajaran tersebut daripada terus berleluasa," jelasnya.
Tambah beliau, kesesatan ajaran itu antaranya percaya kepada kewujudan Imam 12 menyerupai kepercayaan Syiah, percaya lokasi Kaabah sebenar terletak di Petra, Jordan bukan di Mekah dan mempunyai kitab suci sendiri.
"Ajaran yang mendakwa dipimpin Iman Mahdi itu turut menyokong, mempromosi dan mempertahankan golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).
"Selain itu, mereka mendakwa agama Islam sebagai agama sesat dan menolak ulama dan agamawan Islam seluruh dunia.
"Bagi mereka solat dan menutup aurat tidak wajib malah menghalalkan minum arak," katanya.
Syed Ibrahim berkata, walaupun Pahang tidak terlibat atau terkesan dengan fahaman itu, umat Islam di negeri ini dinasihatkan sentiasa berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran itu.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebar video berkenaan ajaran itu agar tidak berlaku penularan kepada yang tidak memahaminya dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak," katanya.