TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yakin Faisal Halim mampu bangkit selepas insiden disimbah asid yang berlaku terhadapnya.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan ia akan mengambil masa yang lama untuk pemain sayap Selangor FC itu kembali pulih seperti sebelum ini.
Menurutnya, selain perlu pulih daripada kecederaan fizikal, Faisal juga memerlukan sokongan semua pihak untuk melupakan trauma akibat kejadian itu.
"Tetapi, harus diingat trauma yang dia lalui ini bukan mudah. Bukan hanya dari segi rawatan tetapi dari segi psikologi," katanya selepas melawat Faisal di sebuah hospital swasta dekat sini pada Rabu.
Beliau berkata, Faisal kemungkinan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk membolehkan dia kembali menjalani latihan bola sepak.
"Tempoh enam bulan itu bukanlah untuk dia kembali ke kecergasan yang sepenuhnya, tetapi untuk mula kembali buat latihan.
"Saya tidak boleh jamin, tetapi ALLAH saja yang boleh jamin. Tetapi jauh dari sudut hati saya, Insya-ALLAH dia boleh.
"Sebab dia ini semua orang tahu badan saja kecil, tetapi semangat dia sangat kuat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!