Rakyat Kelantan diminta terus laksanakan solat sunat Istisqa

Iklan
Keadaan tali air di Kampung Belimbing di Kota Bharu yang kering-kontang. Foto FB Zulhanifa Sidek

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menggesa rakyat di negeri ini untuk terus memperbanyakkan solat sunat Istisqa berikutan cuaca panas melampau ketika ini.

Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, solat sunat itu perlu dilakukan kerana keadaan hujan yang belum mencukupi di negeri Kelantan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, solat berkenaan dilakukan di luar masjid-masjid, padang atau kawasan-kawasan lapang.

"Sekarang ini rakyat masih melakukan solat itu dan kita tengok selepasnya, ada kesan cuaca redup serta hujan walaupun sekejap.

Iklan

"Jadi, teruskan kerana kita mahu hujan lebat di semua tempat untuk meredakan keadaan tanah merekah seperti di sawah padi-padi yang rosak,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, pada Rabu.

Mohd Asri

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan solat Istisqa di semua jajahan melalui dakwah halaqat, imam-imam, masjid atau seperti diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Iklan

Kata beliau, langkah tersebut turut dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di pekarangan Masjid Muhammadi di sini, baru-baru ini.

"Semua entiti bawah negeri sudah melaksanakan solat sunat Istisqa termasuk sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan.

"Solat sunat Istisqa juga dilakukan dengan membawa bersama-sama binatang peliharaan seperti kambing dan biri-biri bagi menandakan hujan bukan hanya diperlukan oleh manusia malah haiwan-haiwan juga,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asri memaklumkan kerajaan negeri bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara berdepan cuaca panas.

"Kami berbincang persediaan langkah berdepan cuaca panas dan kemarau termasuk akan menggali telaga tiub bagi mencukupkan bekalan air.

"Masalah dihadapi kerana bekalan air tidak mencukupi, malah air bawah tanah juga kering menyebabkan mereka yang menggunakan sistem telaga tiub turut berdepan masalah tidak ada air atau kotor serta berbau,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!