KUALA SELANGOR - Keluarga pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh bagi memburu suspek yang memecahkan cermin kereta anak mereka di pusat latihan JDT di Jalan Sri Gelam, di sini pada Rabu.
Bapanya, Rahim Mohd Yatim, 65, berkata, siasatan perlu dilakukan segera bagi memastikan nyawa anak sulung daripada dua beradik itu tidak terancam.
Menurut beliau, siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kes seumpama itu tidak berlaku kepada mana-mana individu lain.
"Kita tidak tahu apa motif sebenar pemain bola sepak menjadi sasaran pelaku dan saya berharap polis menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Rabu.
Rahim memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak bongsunya, Safiqa, 35, kira-kira jam 11.30 malam Selasa.
Jelas beliau, sejurus itu dia menghubungi Safiq bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai kejadian itu.
"Dalam perbualan telefon itu, Along memberitahu dia dalam keadaan selamat dan meminta saya tidak risau dengan keadaannya," tambahnya.
Bagaimanapun, Rahim memberitahu, dia sempat berpesan kepada Safiq supaya tidak kerap keluar rumah dan memastikan sentiasa berteman serta tidak bersendirian.
Jelas beliau, kejadian itu menyebabkan dia tidak lena tidur lebih-lebih lagi memikirkan keselamatan Safiq sekeluarga.
"Memang saya akui tidak tenang tidur kerana memikirkan keselamatan anak, menantu dan empat cucu serta berharap kejadian ini berakhir.
"Saya pun tidak tahu apa motif kejadian kerana setahu saya, dia (Safiq) tiada musuh dan ini merupakan kejadian pertama sejak karier bola sepaknya bermula pada usia 10 tahun," katanya.
Dalam pada itu, katanya, Safiq juga terpaksa membatalkan Majlis Aidilfitri di kediamannya di Kuala Lumpur berikutan peristiwa terbabit.
Jelasnya, dia dan isteri sepatutnya bertemu Safiq pada Sabtu ini bagi meraikan sambutan tersebut, namun majlis ditangguhkan pada waktu lain.
"Along ada meminta emaknya memasak rendang pada sambutan Aidilfitri, tetapi kita tangguhkan demi keselamatan semua pihak buat masa sekarang," kata Rahim.
Terdahulu, Safiq memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan individu tidak dikenali di kawasan pusat latihan JDT.
Insiden itu berlaku tiga hari selepas pemain sayap negara, Faisal Halim disimbah asid dan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid pula disamun dan diserang, di kawasan kediamannya lebih kurang seminggu lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!