Ahli perniagaan dijel empat tahun tipu pengurus undang-undang Jakel

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang ahli perniagaan selepas didapati bersalah menipu pengurus undang-undang Jakel Trading Sdn Bhd membabitkan kerugian berjumlah RM400,000, lima tahun lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Mohamed Noor Mohamed Amin, 51, di akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

"Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Oleh yang demikian, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan-pertuduhan dihadapinya," kata hakim itu.

Iklan

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama serta penjara empat tahun untuk pertuduhan kedua dan ketiga. Kesemua hukuman itu diperintahkan berjalan secara serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dengan wang jaminan terhadap tertuduh dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM80,000.

Iklan
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan melibatkan jumlah kerugian yang besar.

Mohamed Haniff Khatri pula memohon hukuman berbentuk denda atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan menghidap penyakit tumor.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Mohamed Noor didakwa menipu pengurus undang-undang Jakel Trading, Aiman Dazuki, 34, dengan memperdayakannya dalam urusan pembelian saham syarikat yang tidak wujud sehingga mendorong syarikat itu menyerahkan wang berjumlah RM400,000, iaitu mangsa tidak akan menyerahkan wang terbabit sekiranya tidak diperdayakan.

Perbuatan itu dilakukan di pusat beli belah Jakel di Jalan Munshi Abdullah, di sini pada 15 April hingga 12 Jun 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda.

Pada 8 November 2023, Mohamed Noor diperintahkan membela diri atas tiga pertuduhan itu.

Seramai 17 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan termasuk tertuduh memberikan keterangan dalam perbicaraan kes itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!