Perak sasar lima terbaik di Sukma Sarawak

Iklan
Saarani (tengah) ketika menyempurnakan gimik Countdown 100 Hari Sukma Sarawak XXI 2024 di Galasa Caldwell pada Rabu.

KONTINJEN Perak menyasarkan kedudukan lima teratas dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan di Sarawak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pihaknya turut meletakkan sasaran sebanyak 30 hingga 35 pingat emas berbanding hanya 27 pingat emas pada edisi sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Perak akan menghantar seramai hampir 900 atlet bagi menyertai beberapa acara sukan yang dipertandingkan pada temasya berkenaan.

"Sebenarnya sasaran (jumlah pingat keseluruhan) kita belum menetapkan secara spesifik kerana jawatankuasa pengurusan Majlis Sukan Negeri belum melaksanakan mesyuarat bagi menetapkan sasaran itu, cuma sasaran kita mesti perbaiki pencapaian Sukma lepas di mana kita berada di tangga kelapan dan insya-ALLAH sasaran lima terbaik.

Iklan

"Dari segi persiapan kita bermula dari tahun lepas melalui kem bakat, kem untuk sukan-sukan tertentu. Ada sukan kita beri tumpuan contohnya kombat kerana sukan kombat ini kita nampak ia tawar bilangan pingat yang besar.

"Peluang Perak mencipta kejuaraan dalam sukan kombat ini ada kerana kita antara kuasa besar seperti judo, silat, kabaddi, silambam dan muay thai," katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 Hari Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak XXI 2024 di Galasa Caldwell di sini pada Rabu.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Khairudin berkata, Perak tidak akan menyertai semua acara sukan yang dipertandingkan sebaliknya hanya menumpukan sukan yang berpotensi menghadirkan pingat.

"Kita tidak menghantar atlet bagi kesemua 37 acara sukan ini atas faktor yang pertama dari segi pencapaian terdahulu, kemudian dari segi kesiapsiagaan persatuan-persatuan sukan negeri menyediakan pasukan.

"Kita tak nak nanti pasukan Perak jadi skuad belasahan. Kita nak mereka mampu beri saingan sekurang-kurangnya dan paling penting mendapat pingat sama ada emas, perak atau gangsa," katanya.

Sementara itu, mengenai pasukan bola sepak Sukma yang mencetuskan polemik sebelum ini, Khairudin mengesahkan perkara itu tidak lagi berbangkit.

Katanya, pihak pengurusan Perak FC sudah pun berbincang dengan MSN untuk memberikan pelepasan untuk pemainnya beraksi di dalam kejohanan berkenaan.

Jelasnya, pasukan bola sepak Sukma diharap mampu meneruskan kecemerlangan sebelum ini mendapatkan pingat emas bagi ibu segala pingat itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!