ALOR SETAR - Kedah mencadangkan agar diwujudkan pusat kecemerlangan di universiti-universiti awam dengan melibatkan kerjasama kerajaan negeri dan syarikat multinasional (MNC) yang berada di negara ini.
Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, penglibatan secara langsung tiga pihak terbabit merupakan kerjasama strategik yang akan memanfaatkan banyak pihak, khususnya dalam penawaran tenaga kerja mahir.
Menurutnya, idea berkenaan dikongsikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Mesyuarat Pembangunan Negeri Kedah yang dihadiri Anwar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman pada Sabtu.
"Kesempatan bertemu dengan Perdana Menteri selepas mesyuarat berakhir dimanfaatkan sebaiknya, saya kongsikan beberapa idea untuk kebaikan negeri ini.
"Saya turut sarankan agar pelajar universiti mengambil kursus khas jangka pendek berteraskan keperluan industri khususnya bersifat teknikal bagi menampung perkembangan industri semasa,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Haim Hilman berkata, beliau turut menyuarakan hasrat kepada Perdana Menteri agar mempertimbangkan diwujudkan kerjasama strategik antara kerajaan negeri menerusi Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) dengan agensi kerajaan Persekutuan.
"Ia bagi membolehkan penawaran program jangka pendek khususnya dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) serta sektor lain yang berkaitan untuk menyokong keperluan industri di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan utara Perak,” ujarnya.
Menurutnya lagi, selain idea memperkasakan pendidikan tinggi negara, turut dikongsi berkaitan potensi Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang amat besar dalam membantu memacu ekonomi negara khususnya dalam sektor E&E.
"Perdana Menteri setuju dengan potensi yang ada pada KHTP dan mengakui Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) dan Kedah perlu terus diperkasa untuk menjadi pemacu sektor semikonduktor serantau mahupun dunia di samping sektor-sektor lain,” katanya.
Haim Hilman turut melahirkan rasa syukur dan gembira atas sikap terbuka Perdana Menteri dalam mendengar pandangan yang diutarakan.
"Saya juga berharap semua perkara dalam 'wishlist' Kedah yang dibentangkan oleh Menteri Besar diberikan pertimbangan sewajarnya dan mendapat sokongan Perdana Menteri.
"Kerajaan negeri pastinya akan bergerak bersama Kerajaan Pusat dalam usaha membela nasib rakyat serta memperkasakan kedaulatan negeri ini, khususnya dalam memastikan Kedah berada di landasan tepat menuju ke arah The Greater Kedah,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!