MARDI sambung kerjasama dengan Arab Saudi

Iklan
Mohamad menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr Majid Abdullah Al-Kassabi di pejabatnya pada Selasa.

PUTRAJAYA - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhasrat untuk menyambung kerjasama sedia ada dengan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kelestarian Pertanian Arab Saudi (ESTIDAMAH).

Perkara itu dizahirkan di dalam pertemuan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr Majid Abdullah Al-Kassabi di pejabatnya pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menerusi kenyataan, KPKM memaklumkan kerjasama itu terutamanya melibatkan proses mengimport keratan buah naga dan sarang lebah madu.

Pertemuan sulung kedua-dua pemimpin itu juga membincangkan kerjasama dua hala terutamanya dalam sektor pertanian, penyelidikan dan usaha untuk meningkatkan akses pasaran.

Iklan

"Mohamad menekankan potensi beberapa produk Malaysia untuk dieksport ke Arab Saudi seperti buah-buahan tropika iaitu buah nangka dan nanas, produk nilai tambah haiwan dan makanan haiwan termasuk makanan haiwan berasaskan protein serangga yang diproses, produk sedia untuk dimakan, produk telur, tenusu serta produk akuatik seperti ikan patin sejuk beku," katanya pada Rabu.

Di kalangan negara-negara Asia Barat, Arab Saudi merupakan rakan dagangan terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar Malaysia.

Iklan

Data perdagangan pertanian bagi tahun 2023 merekodkan nilai eksport dari Malaysia ke Arab Saudi sebanyak RM2.64 bilion yang sekali gus menyumbang perdagangan positif kepada negara.

Pada pertemuan tersebut, Arab Saudi juga telah berkongsi inisiatif inovasi Wawasan 2030 yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia terutamanya dalam bidang pertanian serta membuka peluang kerjasama baharu bagi kedua-dua negara.

"Di akhir pertemuan, Majid dijemput ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 September depan dan turut mempelawa penyertaan Arab Saudi dalam acara dwi tahunan itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!