TEL AVIV - Israel mendakwa ia telah membuka semula lintasan Kerem Shalom (Karim Abu Salem) untuk akses bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza pada Rabu ketika unit kereta kebal bersama pasukan infantri mula mara ke kawasan paling selatan enklaf tersebut.
Langkah itu dibuat empat hari selepas penutupan koridor tersebut sebagai respons terhadap serangan roket yang membunuh empat anggota tentera mereka.
"Konvoi trak dari Mesir membawa bantuan termasuk bekalan makanan, ubat-ubatan dan alatan perlindungan yang disumbangkan komuniti antarabangsa telah tiba di lintasan sempadan itu,” ujar kenyataan bersama Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan COGAT di bawah Kementerian Pertahanan yang mengawasi hal ehwal awam penduduk Palestin.
Menurutnya, penghantaran itu akan dibuat selepas proses pemeriksaan selesai.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) bagaimanapun memaklumkan lintasan Kerem Shalom itu masih ditutup.
Ia, sekali gus mencetuskan tanda tanya tentang muslihat terbaharu rejim Zionis yang kini mengawal lintasan Rafah sejak Selasa setelah ia berdepan desakan komuniti antarabangsa supaya membuka koridor ke wilayah terkepung tersebut.
IDF juga mendakwa lintasan Erez yang menghubungkan Tel Aviv dengan utara Gaza telah dibuka untuk penghantaran bantuan kemanusiaan.
Dalam perkembangan berkaitan, rundingan untuk melaksanakan gencatan senjata disambung semula di Kaherah dengan kehadiran kesemua wakil pihak bertelagah. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!