SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca terutamanya di empat lokasi di Kelantan yang dikenal pasti sedang mengalami gelombang haba tahap dua iaitu suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keadaan cuaca negara dijangka dipengaruhi oleh fasa Monsun Barat Daya pada bulan ini.
"Dalam tempoh Monsun Barat Daya yang biasanya bermula pertengahan Mei hingga September, kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berkurangan dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.
"Fenomena El Nino kuat telah berlaku dan mencapai kemuncaknya pada Disember tahun lalu.
"Fenomena ini telah memberi kesan kepada keadaan cuaca negara yang menyebabkan berlakunya gelombang haba serta cuaca panas dan kering di kawasan tertentu seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan, empat kawasan di Kelantan hari ini merekodkan status cuaca panas tahap dua atau gelombang haba.
Agensi itu dalam satu kenyataan berkata, kawasan yang terjejas itu adalah Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang
Dalam pada itu Nik Nazmi berkata, tahun ini telah berlaku dua kematian akibat daripada serangan strok haba iaitu seorang lelaki berusia 22 tahun di Pahang pada Februari dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan pada bulan lalu.
"Pada bulan Februari yang lalu, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1/2024 bagi membincangkan persediaan negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering serta langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka dan jerebu.
"Saya telah memanggil agar Mesyuarat JIJCKK kedua tahun ini diadakan secepat mungkin bagi membincangkan situasi cuaca panas dan kering semasa serta mengatur strategi berkaitan bersama semua kementerian, jabatan dan agensi terlibat," jelasnya.
Orang ramai diingatkan untuk berjaga-jaga dan sentiasa peka terhadap keadaan cuaca dan kualiti udara melalui aplikasi myCuaca, MyIPU dan laman web rasmi MET Malaysia di https://www.met.gov.my/ serta portal Air Pollutant Index Management System (APIMS) di https://apims.doe.gov.my/home.html
Semua pihak dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah sarap, daun kering, sisa tanaman kebun dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999, Hotline Jabatan Alam Sekitar 1-800-88-2727 atau e-mel kepada aduan_k@doe.gov.my atau ke portal aduan https://eaduan@doe.gov.my atau melalui talian 03-8871 2333.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!