KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman masing-masing seorang pengarah syarikat dan pemilik firma guaman kerana disyaki mengemukakan butiran matan palsu.
Menurut sumber, ia melibatkan pelan pelaburan, skim perlindungan insurans dan laporan mingguan yang mengandungi butir matan palsu berkaitan pelaburan mata wang asing Forex berjumlah RM38 juta.
Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki yang berusia sekitar 50-an telah ditahan pada Selasa, jam 5 petang ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Ibu Pejabat SPRM dan Pejabat SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang.
Susulan penahan itu katanya, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Rabu.
"Perintah reman selama dua hari telah dikeluarkan oleh Majistret Ti Pei Si terhadap suspek bermula Rabu.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2020," katanya pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!