HEFEI - Seorang lelaki di China akhirnya sedar daripada koma selama 10 tahun, berkat jagaan penuh dedikasi dan kasih sayang oleh isterinya sejak 2014.
Menurut laporan South China Morning Post, Sun Hongxia, dari wilayah Anhui enggan berputus asa menjaga suaminya yang mengalami kondisi sedemikian selepas terkena serangan jantung.
Hongxia sentiasa percaya dan meletakkan keyakinan bahawa suaminya akan pulih sekiranya dia diberi perhatian dan penjagaan yang rapi.
"Walaupun saya sangat letih, pengorbanan itu amat berbaloi, apabila suami saya kembali seperti biasa,” katanya kepada Dawan News.
Keratan klip video pasangan itu 'disatukan' semula selepas 10 tahun menjadi tular di media sosial di Beijing yang menunjukkan Hongxia berada di sisi suaminya.
Kelihatan dalam hantaran video tersebut, suaminya menitiskan air mata tatkala Hongxia menceritakan keadaan dan cabaran yang dihadapinya sejak sedekad lalu.
Hongxia berkata, dua orang anak mereka menjadi pembakar semangatnya untuk dia terus meletakkan kepercayaan bahawa suaminya akan sembuh.
"Saya juga mahu memberi contoh yang baik dan inspirasi kepada mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, ayah mentua Hongxia menyifatkan menantunya hanya 'seribu dalam seorang'.
"Dia hanyalah menantu saya, tetapi dia lebih baik daripada anak perempuan kandung saya, tiada siapa yang boleh mengganti dan menandingi sikapnya,” ujar lelaki 84 tahun itu.
Sementara itu, pengguna media sosial China yang mengikuti kisah mereka ternyata kagum dengan pengorbanan Hongxia.
"Itulah cinta sejati," tulis seorang pengguna, sementara seorang lagi mengatakan suami Hongxia sangat bertuah kerana mempunyai isteri sebaik Hongxia.
"Dia berkahwin dengan 'malaikat',” kata pengguna itu.
Pada 2019, Li Zhihua, dari Xiangyang, wilayah Hubei juga sedar daripada koma selama lima tahun atas penjagaan penuh kasih sayang isterinya sepanjang tempoh tersebut.
Zhihua dilaporkan mengalami kecederaan otak yang serius selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2013. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!