KES buli siber dalam kalangan masyarakat di negara ini nampaknya masih tiada penamat yang cukup konkrit.
Statistik yang dikongsikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menunjukkan TikTok menunjukkan antara platform yang paling banyak mempunyai kandungan hantaran berkaitan buli siber berdasarkan rekod bermula 1 Januari hingga 15 November tahun lalu.
Ia diikuti Facebook, aplikasi X, Instagram dan YouTube.
Lebih membimbangkan, jumlah kes buli siber terutama melibatkan golongan remaja di negara ini dilaporkan semakin meningkat saban tahun.
Pada tahun 2021, hanya 326 kes direkodkan, namun meningkat kepada 3,887 kes pada 2022.
Angka tersebut terus naik kepada 4,994 kes antara Januari dan Oktober 2023.
Melihat bilangan tersebut, komentar berunsur biadab, menghina dan merendah-rendahkan maruah seseorang ibarat sudah menjadi barah yang merebak dalam kalangan rakyat kita.
Malah, baru-baru ini tular video kebiadaban seseorang yang kita sendiri tidak kenal dengan berani meninggalkan komen berbentuk teks yang menyamakan anak seorang pempengaruh media sosial dengan seekor haiwan.
Ramai yang bersetuju dengan tindakan tegas penyanyi hip hop tersebut yang meminta lelaki berkenaan melutut meminta maaf atas perbuatan biadabnya itu.
Kalau diikutkan, bukan beliau sahaja yang sakit hati apabila anak kesayangan disamakan dengan haiwan, kita sebagai ibu bapa pun mungkin akan mengambil tindakan sama.
"Nah! Barulah buku bertemu ruas!” Demikian komentar yang dikongsikan netizen yang mengikuti perkembangan kes tersebut supaya insiden buli siber tidak berulang.
Pun demikian, ramai pula yang panas punggung apabila insan itu diperlakukan dengan aib sehingga menjejaskan maruah individu berkenaan.
Dalam hal ini, apa pun pandangan berbeza yang dikongsikan, kita sebenarnya tidak boleh memandang enteng terhadap kes buli siber.
Pendedahan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin boleh menjentik hati dan membuka mata ramai pihak.
Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan, Malaysia berada pada kedudukan kedua di rantau Asia berkenaan buli siber dan nombor enam di dunia dalam kalangan belia.
Justeru, usaha untuk mewujudkan perundangan khusus seperti Akta Anti Buli bagi menangani buli siber secara lebih berkesan dalam kalangan pelajar yang disarankan beliau perlu diberikan sokongan padu.
Pada masa sama, apakah peranan kita demi menghentikan kes buli siber daripada terus menular dalam kalangan anak muda?
Sebagai ibu bapa, pantaulah aktiviti anak-anak yang terlalu ralit dengan media sosial supaya mereka tidak menjadi mangsa dan pemangsa tanpa sedar.
Rakan sebaya juga mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu dari segi dorongan psikososial mangsa dan menasihatkan supaya pembuli menghentikan perbuatan tidak sihat berkenaan.
Bukan itu sahaja, institusi pendidikan dan komuniti media sosial juga perlu mengambil pendekatan sendiri dengan kempen kesedaran antibuli yang berterusan.
Tidak dinafikan, akses terhadap media sosial tanpa sekatan dan kurang penekanan penguatkuasaan antara faktor penyumbang ke arah isu berkenaan.
Pun demikian, percayalah bahawa impak buli siber ini cukup serius. Lebih-lebih lagi melibatkan anak-anak yang masih mentah untuk berkongsi hantaran peribadi secara terbuka di media sosial.
Ia bukan sahaja memberi tekanan emosi seperti kemurungan dan anxiety, malah boleh menyebabkan mangsa dihurung perasaan takut, tiada harapan untuk meneruskan hidup sehingga wujud pemikiran negatif untuk membunuh diri.
Justeru, jangan biasakan benda yang sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian sehingga meninggalkan titik-titik hitam dalam jiwa kita.
* Arziana Mohmad Azaman ialah wartawan Lifestyle Sinar Harian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!