Benarkah pekerja muda sekarang manja?

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.

MEMAHAMI ragam pekerja muda yang mahukan gaji lebih tapi memilih ‘bekerja seadanya’, suatu topik yang agak kompleks, mungkin juga sensitif.

Sama ada dalam kalangan masyarakat secara umum mahupun majikan, rata-rata punya perspektif berbeza dalam hal ini bergantung kepada kepentingan dan situasi.

Iklan
Iklan

Kajian Randstad Malaysia merumuskan hampir separuh daripada Gen Z (49 peratus) dan Gen Y (47 peratus) menentang pengaturan kerja tidak fleksibel, suatu dapatan yang kukuh jika diperhalusi di dalam setiap organisasi di negara ini.

Dapatan itu juga mengatakan dua daripada lima rakyat Malaysia sanggup meletak jawatan jika perlu bekerja lebih kerap di pejabat.

Iklan

Melihat kepada trend ini, timbul persoalan sama ada Gen Z dan Y ini terlalu manja atau mudah ‘koyak’ sehingga berani memberi kata dua kepada majikan untuk mendapatkan perkhidmatan mereka?

Adakah majikan atau industri perlu mengalah dengan tuntutan mereka ini?

Iklan

Fakta penting yang perlu difahami tentang pekerja muda ini adalah keutamaan mereka terhadap keseimbangan antara kerja dan hidup.

Prinsip mereka, kebahagiaan dan kepuasan hidup bukan semata-mata bergantung kepada pencapaian di tempat kerja. Mereka mahukan keseimbangan antara kehidupan peribadi di luar dan di pejabat.

Berbanding Gen X dan Boomers II yang bekerja keras untuk menggapai impian, pekerja muda pula menyifatkan majikan perlu menilai keupayaan dan khidmat yang mereka berikan melalui bayaran gaji yang setimpal.

Jadi, adakah industri perlu bertoleransi dengan kehendak pekerja muda yang mahukan fleksibiliti ini atau sebaliknya?

Sebenarnya, ia adalah satu cabaran yang memerlukan pendekatan yang seimbang.

Industri perlu mengambil kira keperluan pekerja muda untuk keseimbangan kerja-hidup yang lebih baik.

Bukan sahaja dapat meningkatkan kepuasan dan produktiviti pekerja, tetapi juga akan memperkukuh reputasi organisasi sebagai majikan yang prihatin.

Di sisi lain, pekerja muda juga perlu memahami bahawa pencapaian yang tinggi dan pembangunan kerjaya memerlukan pengorbanan tertentu.

Ini termasuklah sesetengah situasi di mana bekerja lebih masa mungkin diperlukan untuk mencapai matlamat organisasi.

Jadi, adakah pekerja muda manja atau fleksibel? Jawapannya, ia bergantung kepada konteks.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!