SHAH ALAM - Perselisihan faham antara ibu dan bapanya yang berlaku 14 tahun lalu sehingga menyebabkan wajahnya cacat kerana terkena percikan cecair dipercayai asid tidak membuatkan Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan berdendam dengan mereka.
Insiden yang tidak disengajakan oleh bapa dan ibunya masih segar dalam ingatan Nurul Dahyatul Fazlinda, 22, kerana parut itu kekal hingga kini.
Lebih menyedihkan apabila dia tidak mengetahui bahawa bapanya membawa pulang sebungkus plastik berisi cecair yang dicampurkan dengan minyak enjin motosikal.
"Saya tidak pernah pun berdendam dengan ayah. Selepas kejadian itu, mereka bercerai dan kami adik-beradik duduk dengan mak.
"Ayah dimasukkan ke dalam penjara disebabkan isu ini dan dibebaskan pada 2017. Waktu cuti sekolah dulu memang kami akan balik ke rumah ayah,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Ditanya mengenai kejadian yang berlaku 14 tahun lalu, Nurul Dahyatul Fazlinda menjelaskan bahawa ketika pertengkaran tersebut berlaku di ruang tamu, dia bersama tiga adik-beradik yang lain berada di dalam bilik tidur.
Ujarnya, perkara tidak diingini itu berlaku sekelip mata apabila dia dan adik lelakinya, Mohd Irfan, yang kini berusia 16 tahun, cuba menjenguk untuk melihat keadaan ibu serta bapanya.
"Masa mereka bergaduh, kami ada di dalam bilik tetapi saya dan adik cuba menjenguk. Ayah pegang satu bungkusan plastik yang ada cecair di dalamnya.
"Ibu dan ayah cuba berebut bungkusan tersebut sehingga menyebabkan bungkusan plastik itu pecah dan kami terkena percikan cecair yang sebenarnya asid dicampur dengan minyak enjin,” ujarnya.
Akibat kejadian itu, dia mengalami cedera parah pada bahagian muka dan mata, manakala adiknya, Mohd Irfan dan ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang turut mengalami kecederaan.
Ditanya mengenai keadaannya yang terkini, Nurul Dahyatul Fazlida memaklumkan dirinya semakin pulih dari segi mental dan fizikal walaupun masih kurang keyakinan untuk berjumpa dengan orang lain.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia kini sedang menjalani rawatan dengan pakar pembedahan plastik di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
"Rawatan yang saya terima ini melibatkan pengisian lemak di hidung sebanyak empat kali supaya pembedahan plastik di hidung nanti berjalan lancar.
"Saya sukar bernafas sekiranya tengah demam atau selesema yang teruk,” jawabnya ringkas.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh dibuat menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1150041000040457 atas nama Nurul Dahyatul Fazlinda bagi meringankan beban terutama kos rawatan dan perjalanan yang terpaksa ditanggung untuk ke Kuala Lumpur dari Terengganu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!