ALOR SETAR - Keseronokan lima remaja mendaki Gunung Keriang untuk mencari batu kristal bertukar cemas selepas tiga daripada mereka gagal menemui jalan keluar pada Rabu.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim, berdasarkan laporan, kelima-lima remaja terbabit sebelum itu dipercayai mendaki gunung berkenaan bermula 9 pagi, sebelum memasuki Gua Terus, namun gagal mencari jalan keluar.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 petang selepas dua daripadanya berjaya keluar dan turun untuk meminta bantuan
"Operasi mencari dan menyelamat SAR dilakukan sepasukan anggota bomba dan turut disertai polis serta orang awam.
"Ketiga-tiga remaja yang sesat iaitu dua remaja perempuan berusia 14 tahun dan remaja lelaki berusia 19 tahun berjaya dibawa turun pada jam 1 pagi pada Khamis," katanya dalam kenyataan
Sementara itu, salah seorang daripada lima remaja tersebut, Siti Norzawiyah Anuar, 19, berkata, sebelum kejadian, mereka mengutip batu kristal di gua untuk dibawa pulang sebelum dia dan seorang rakan menyedari tiga yang lain tiada bersama-sama mereka.
"Saya dan seorang lagi rakan lelaki yang berusia 16 tahun berada di hadapan tiga lagi rakan yang sesat itu.
"Ketika itu kami cuba mencari jalan keluar, tetapi tersesat dan selepas berusaha, akhirnya kami berjaya keluar, namun tidak sangka mereka bertiga tidak mengikut kami di belakang.
"Saya jerit nama mereka tapi tak bersahut menyebabkan kami cuba turun guna trek yang ada sehingga kaki gunung," katanya menceritakan kejadian berkenaan.
Dia kemudiannya menghubungi bomba dan meminta bantuan penduduk setempat bagi mencari rakan-rakannya.
Tambah Siti Norzawiyah, dia sudah beberapa kali memasuki Gua Terus di gunung tersebut, namun tidak menyangka kali ini akan berdepan detik cemas berkenaan.
Batu kristal di Gunung Keriang menjadi buruan untuk dijadikan hiasan rumah dan pejabat disebabkan bentuknya yang cantik serta bentuknya pelbagai seakan-akan batu karang laut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!