JURULATIH Real Madrid, Carlo Ancelotti kagum dengan kebangkitan luar biasa yang diperagakan para pemain ketika menundukkan Bayern Munich untuk meraih slot final Liga Juara-Juara awal bulan depan.
Kejayaan diraih menerusi dua gol lewat permainan oleh pemain gantian, Joselu untuk melakar kemenangan 2-1 sekali gus mara dengan agregat 4-3.
Juara Sepanyol itu akan menentang satu lagi kelab Jerman, Borussia Dortmund pada final 2 Jun di Wembley selepas mereka mengejutkan pasukan yang digelar 'black beast'.
"Sesuatu yang ajaib, sukar untuk digambarkan," ujar Ancelotti.
Dalam aksi awal pagi Khamis itu, Alphonso Davies terlebih dahulu meletakkan Bayern di depan pada babak kedua.
Bagaimanapun juara 14 kali Madrid mempamerkan kebangkitan menakjubkan hasil dua gol Joselu pada minit ke-88 dan 91.
Penyerang berusia 34 tahun itu masuk dari bangku simpanan pada lewat perlawanan mencipta nama dalam sejarah Madrid menerusi dua jaringan keramat yang memberikan raja kebangkitan Eropah itu satu lagi malam paling diingati.
Kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan Madrid untuk mendominasi perlawanan, namun ledakan Davies hasil rembatan kencang pada minit ke-68 memberi isyarat aksi ulangan pertembungan dua kelab Jerman pada final 2013 di London.
Joselu bagaimanapun meranapkan impian Bayern yang kempunan sebarang trofi kali pertama sejak 2012 menerusi gol penyamaan hasil kesilapan penjaga gol, Manuel Neuer yang sebelum itu kebal di gawang.
Dia kemudian mengesahkan kemenangan Madrid selepas menyempurnakan hantaran Antonio Rudiger pada minit ke-91.
Gol tersebut pada mulanya dibatalkan akibat ofsaid tetapi kemudiannya disahkan Video Bantuan Pengadil (VAR) sekali gus membolehkan Madrid di landasan terbaik memburu trofi berprestij Eropah buat kali ke-15.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!