SEREMBAN - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarahkan melaksanakan tangkapan lembu secara lebih agresif bagi mengelakkan kemalangan jalan raya disebabkan binatang ternakan.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, ia selaras dengan keputusan dalam mesyuarat bersama PBT di negeri ini pada awal tahun ini berhubung isu lembu berkeliaran tanpa pengawasan.
"Sepanjang empat bulan ini sebanyak lapan ekor lembu telah ditangkap di Senawang Perdana, Rasah Jaya dan Laman Sendayan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Ujarnya, susulan tindakan ini, tiada lagi binatang ternakan tersebut berkeliaran di kawasan berkenaan.
"Tindakan tangkapan ini bukan untuk menghukum penternak, tetapi sebagai satu pengajaran dan mendidik supaya tidak melepaskan lembu di merata tempat," katanya.
Katanya, pihak PBT mengguna pakai peruntukan ditetapkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing PBT dan UUK Kawalan Lembu-Kerbau PBT untuk menguruskan isu binatang terbiar serta mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh Akta Kebajikan Haiwan 2015.
"Di samping itu,kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan Dasar Pemandulan Anjing Berlesen Dan Anjing Terbiar sebagai langkah kawalan populasi anjing di Negeri Sembilan untuk digunapakai PBT," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!