KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee enggan anak buahnya terburu-buru dan mengejar sasaran tidak realistik pada awal fasa Liga Super musim ini, sebaliknya beliau mahu pasukannya menumpukan pada peningkatan prestasi.
Kim Swee berkata, beliau juga tidak mahu skuad Sang Badak itu terlalu memikirkan untuk kekal berada dalam kedudukan tiga teratas liga yang dicapai musim lepas, tetapi bermain dengan baik dan menang dalam setiap perlawanan.
Iklan
Iklan
"Kita telah lihat kekuatan dan kelemahan pada aksi persahabatan ... kombinasi, formasi dan sebagainya diharapkan dapat diselesaikan menjelang perlawanan pertama (Liga Super) Ahad ini selain para pemain bebas kecederaan," katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.
Jurulatih kelahiran Melaka itu secara keseluruhannya berpuas hati dengan pemain sedia ada dan akan cuba memberi peluang kepada pemain muda berpotensi untuk beraksi, sambil bekerjasama dengan pihak pengurusan untuk mendapatkan keputusan terbaik buat pasukan.
Perlawanan pertama Liga Super musim ini bermula 12 Mei menyaksikan Sabah bertemu Penang FC di Stadium Likas di sini.
Musim lepas, Sabah menduduki tempat ketiga di belakang Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim FC (JDT). Skuad Harimau Selatan itu menjulang mahkota juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!