Kerajaan Johor kaji kadar kenaikan gaji penjawat awam

Iklan
Onn Hafiz

JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor sedang mengkaji kadar baharu gaji penjawat awam di negeri ini susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 1 Mei lalu.

Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, penentuan mengenai kadar baharu gaji penjawat awam di negeri ini akan dibuat berdasarkan kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri dan keputusan mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Dari segi penjawat awam untuk negeri Johor, Insya-ALLAH kita juga akan selari dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, tetapi kita perlu kaji lagi untuk pastikan kedudukan kewangan mencukupi dan memastikan kadarnya serta bila nak buat.

"Itu memang dalam kajian dan insya-ALLAH kita akan buat keputusan dalam masa terdekat. Berapa peratusan kenaikan belum diputuskan dan sedang dikaji,” katanya.

Onn Hafiz (dua dari kiri) meluangkan masa beramah mesra dengan tetamu pada majlis berkenaan.

Iklan

Onn Hafiz berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-39 Persatuan Nelayan Negeri Johor (Josfa) dan Jamuan Hari Raya, di sini, pada Rabu.

Untuk rekod, 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai Disember depan dan kenaikan tersebut dilihat merupakan yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Iklan

Pada majlis sama, Onn Hafiz turut mengumumkan mengenai bantuan Kerajaan Negeri Johor berjumlah RM2.5 juta kepada golongan nelayan di negeri ini.

Katanya, bantuan yang melibatkan seramai 8,445 nelayan berdaftar di negeri ini diharap dapat membantu golongan berkenaan menangani keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

"Hari ini (Rabu), kita berjumpa dengan pihak persatuan nelayan negeri Johor dan mengumumkan bantuan berjumlah RM2.5 juta kepada mereka.

"Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan berjumlah RM100,000 kepada Josfa (Persatuan Nelayan Negeri Johor).

"Bantuan ini adalah supaya kita dapat lihat dan fikirkan bagaimana untuk meningkatkan hasil untuk golongan nelayan di negeri Johor dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan sebagainya agar mereka tidak hilang ditelan arus pembangunan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!