KOTA KINABALU - Sebuah restoran diarah tutup selama dua minggu selepas dikesan terdapat najis dan bau tikus ketika pemeriksaan dijalankan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK) di Bandaran Berjaya di sini pada Selasa.
Pemeriksaan itu dilaksanakan susulan satu video tular memaparkan kehadiran haiwan perosak itu di dalam restoran tersebut.
Menurut kenyataan DBKK, ketika pemeriksaan itu pihak PKKKK telah menjalankan penggredan untuk menilai tahap kebersihan premis makanan tersebut.
"Pemeriksaan mendapati aduan berkenaan adalah benar dan terdapat tanda-tanda kehadiran tikus daripada bau dan najis haiwan tersebut di premis berkenaan.
"Hasil penilaian PKKKK tahap kebersihan dan premis makanan tersebut mendapat markah di bawah 70 peratus dan pengusaha juga didapati gagal mematuhi sepenuhnya Notis Arahan Penambahbaikan yang diberikan DBKK dalam pemeriksaan sebelum ini, iaitu pada 16 April lalu bagi meningkatkan tahap kebersihan premis," kata kenyataan itu pada Khamis.
Sehubungan itu, pihak PKKKK telah memberikan arahan Notis Perintah Tutup Premis Makanan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bermula Selasa.
"Penutupan diarah dilakukan selama 14 hari atas sebab premis tidak bersih sehingga boleh menjejaskan kesihatan orang awam.
"Premis makanan tersebut juga diarahkan untuk menjalankan pembersihan yang menyeluruh termasuklah melaksanakan kawalan makhluk perosak.
"Premis hanya boleh dibuka setelah melepasi penggredan yang akan dilakukan oleh pegawai pemeriksa dalam pemeriksaan susulan selepas kerja-kerja pembersihan dibuat.
"Selain itu, pihak DBKK juga telah mengeluarkan satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan)1966 atas kesalahan semua pengendali makanan gagal memiliki Sijil Kesihatan yang sah," katanya.
Sebelum itu, DBKK akan terus melaksanakan tindakan yang tegas dalam memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan yang bersih.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!