Nahas helikopter TLDM: Kru, pesawat dalam keadaan baik

Iklan
Bangkai pesawat helikopter yang terhempas dalam satu insiden di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut pada 23 April lalu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan kesemua kru udara yang terbabit dalam nahas helikopter terhempas pada 23 April lalu mempunyai tahap kesihatan baik untuk mengendalikan pesawat.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam satu kenyataannya berkata, menerusi Lembaga Siasatan yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu memaklumkan bahawa tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat adalah masih sah dan tidak tamat tempoh.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, kedua-dua buah pesawat disahkan berada dalam keadaan 'airworthy' (selamat untuk terbang) semasa hari kejadian.

"Kerja-kerja selenggaraan bagi kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment Manufacturer (OEM).

Iklan

"Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan," kata kenyataan itu pada Khamis mengenai status laporan awal berhubung siasatan nahas helikopter yang berlaku di Lumut, Perak.

Laporan interim itu membabitkan dua helikopter TLDM yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lalu.

Iklan

Kata kenyataan itu lagi, pesawat HOM AW139 mempunyai 'black box', manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 iaitu 21 tahun lalu tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut.

Menurutnya, data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder (black box) pesawat HOM AW139 telah diterima pada 3 Mei daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan.

Jelasnya lagi, Lembaga Siasatan yang ditubuhkan dianggotai oleh seramai sembilan pegawai TLDM yang pakar dalam penerbangan dan kejuruteraan udara.

"Lembaga Siasatan ini turut mendapat bantuan dari Markas Tentera Udara - Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Selain itu, kerjasama, kepakaran serta pandangan daripada pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman Multi Purpose Flight Data Recorder pesawat HOM," ujar kenyataan itu.

Menurut kenyatan itu lagi, Lembaga Siasatan sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang telah menyumbang kepada insiden tersebut.

Perkara yang diteliti merangkumi aspek analisis semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan profil tersebut menggunakan simulator penerbangan dan pesawat sebenar.

Selain itu katanya, bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter digunakan sekiranya terdapat data-data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan.

"Lembaga Siasatan akan terus mengenal pasti aspek-aspek berkaitan yang perlu diteliti dengan lebih mendalam dan menyediakan laporan akhir secara menyeluruh dan terperinci.

"TLDM memberi jaminan bahawa siasatan dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Lembaga Siasatan kini sedang berusaha untuk menyiapkan laporan akhir yang dijangka siap pada 29 Mei 2024," ujarnya.

Sementara itu, katanya, TLDM akan terus berusaha untuk memastikan aspek kebajikan ahli keluarga mangsa nahas diuruskan dengan sebaiknya.

Menurut kenyataan itu lagi, kebajikan waris terutama berhubung dengan ganjaran dan faedah-faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing akan dipastikan diterima sepenuhnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!