MADINAH - Seramai 282 jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada Khamis.
Mereka yang terdiri daripada 115 jemaah lelaki dan 167 wanita itu selamat tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 pada jam 4.10 pagi sebelum dibawa dengan menaiki bas ke zon penginapan di Hotel Emaar Royal.
Bas yang membawa kesemua jemaah dari lapangan terbang selamat tiba pada jam 6.30 pagi waktu tempatan dan ketibaan rombongan jemaah disambut Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif.
Roslan berkata, Tabung Haji (TH) melakukan persediaan rapi untuk menerima kedatangan semua jemaah haji dengan mengadakan perbincangan sewajarnya dengan pihak-pihak berwajib termasuk Kementerian Haji Arab Saudi dan agensi-agensi berkaitan.
"Ibu Pejabat TH di Madinah yang terletak di bangunan Hotel Roha Al-Madinah sejak minggu lepas sebagai persiapan menyantuni para dhuyufurrahman.
"Saya percaya TH mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia," katanya kepada petugas media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Hotel Emaar Royal di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin, pengurusan dan petugas TH untuk musim 1445H/2024.
Roslan turut menasihati semua jemaah haji Malaysia supaya sentiasa bergerak secara berkumpulan demi keselamatan selain mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh TH.
"Patuhi peraturan dan undang-undang tempatan Arab Saudi dan jaga jaga imej serta nama baik Malaysia setiap masa tidak kira di mana jua berada," katanya.
Beliau juga menyarankan supaya jemaah haji dapat terus menjaga kesihatan diri, minum air secukupnya dan amalkan diet yang seimbang sepanjang berada di Tanah Suci.
"Saya turut mendoakan semua urusan TH dipermudahkan dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik serta semua jemaah mendapat haji yang mabrur insya-ALLAH,” katanya.
Selain KT1, satu lagi penerbangan dari Malaysia tiba di Madinah pada 7.50 pagi (waktu tempatan) melibatkan 281 jemaah haji.
Mereka adalah kumpulan KT awal daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji kuota penuh Malaysia, tahun ini yang akan tiba di Tanah Suci secara berperingkat melalui 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL oleh Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
Di Madinah, jemaah haji Malaysia akan ditempatkan di Hotel Emaar Royal, Movenpick dan Hotel Saja Al-Madinah dengan jarak hotel berada tidak sampai 150 meter dengan Masjid Nabawi.
Sepanjang tempoh enam hari lima malam berada di Madinah sebelum bertolak ke Makkah, jemaah haji akan mengikuti program serta aktiviti diatur TH ziarah dalam melibatkan aktiviti ziarah Masjid Nabawi, makam Rasulullah SAW dan ziarah Raudah selain ziarah luar melibatkan lawatan tempat bersejarah seperti Masjid Quba dan Jabal Uhud.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!