PTG Selangor ganti plot tanah milik keluarga Amar Baharin

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

SHAH ALAM - Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor mengesahkan terdapat kesilapan teknikal berhubung pengeluaran dua hak milik atas satu plot tanah milik keluarga pelakon Amar Baharin di Semenyih.

PTG Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, hasil siasatan diterima melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL) berlaku kesilapan teknikal semasa proses membuat charting secara manual ke dalam lembar lito di Unit Teknikal PDTHL.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu memaklumkan, terdapat dua permohonan pemberian hak milik secara berkelompok yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di kawasan sama pada tahun 1978 dan tahun 1995.

"Ini seterusnya mengakibatkan pengeluaran dua hak milik atas satu plot tanah yang sama sebagaimana yang dibangkitkan oleh pengadu (Amar Baharin)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurut PTG Selangor, hasil siasatan PDTHL juga telah berjaya mengenal pasti satu plot tanah yang berhampiran bagi menggantikan pertindihan tanah berkenaan.

Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, semua pejabat daerah dan tanah di negeri ini mengguna pakai sistem e-Tanah yang merupakan adaptasi sistem pentadbiran tanah secara elektronik mulai 26 Oktober tahun lalu.

Iklan

Jelas kenyataan itu, melalui sistem itu, segala isu berkaitan pertindihan lot dan pengeluaran hak milik atas lot sama boleh dielakkan pada masa depan.

"PTG Selangor juga ingin menasihati pemilik-pemilik tanah supaya sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan tanah seperti pertukaran alamat

terkini dan membuat carian persendirian untuk menyemak urusan-urusan yang berlaku dalam hak milik tanah.

"Pemilik-pemilik tanah juga dinasihatkan tidak membiarkan tanah tanpa pembangunan kerana mana-mana tanah kategori bangunan disyaratkan untuk mendirikan apa-apa binaan dalam tempoh dua tahun lepas hak milik didaftarkan (Seksyen 116(1) Kanun Tanah Negara).

"Sekiranya perkara ini tidak dipatuhi, Pejabat Daerah dan Tanah boleh mengeluarkan notis untuk mengenakan denda atau lucut hak kepada mana-mana pemilik tanah yang berkenaan," tambah kenyataan itu.

Amar Baharin sebelum ini dilaporkan menuntut penjelasan PTG Selangor berhubung kes tanah milik keluarganya yang terletak di Semenyih dikesan dikeluarkan geran kepada orang lain secara tidak sah.

Pelakon berkenaan turut mempersoalkan pihak yang meluluskan geran kedua untuk individu lain selain bayaran penjualan tanah itu diberi kepada siapa sedangkan cukai tanah dibayar oleh ibunya.

Rabu lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan isu membabitkan tanah milik keluarga Amar Baharin di Semenyih bukan kes pertama di negeri ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat beberapa kes seumpama itu berlaku berikutan sistem perekodan dilaksanakan secara manual sebelum ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!